Lapan Harga Barang Dikawal Sepanjang Kaamatan

Lapan Harga Barang Dikawal Sepanjang Kaamatan

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mengawal sebanyak lapan (8) barangan semasa dalam Skim Harga Maksimum Pesta Kaamatan 2022 yang sedang berkuatkuasa sehingga 2 Jun nanti.

Barang yang ditetapkan adalah kepak ayam, cili kering, daging kerbau import dan bawang merah kecil dari India, bawang putih dari China dan daging serta babi hidup tempatan.

Pengarahnya, Georgie Abas berkata, langkah terbabit untuk menstabilkan harga barangan dan memastikan keberadaan bekalan tertentu di pasaran.

“Ianya selain komitmen KPDNHEP untuk memastikan Keluarga Malaysia sentiasa dilindungi dan tidak terbeban dengan peningkatan kos sara hidup…

“Seramai 200 orang pegawai penguat kuasa dan 82 orang Pegawai Pemantau Harga di seluruh cawangan KPDNHEP Sabah akan sentiasa berada di lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai membeli-belah,” katanya dalam sebuah kenyataan.

Beliau berkata, pagi tadi, Ketua Pegawai Penguat kuasa Negeri Zulfamy Mat Udi telah mengadakan ‘walkabout‘ di Boulevard Hypermarket Kepayan Highway bagi meninjau pematuhan pelaksanaan skim yang berkuat kuasa hari ini.

“Mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” katanya.

Penalti kesalahan menjual melebihi harga selain gagal mempamerkan tanda harga boleh mencecah RM100,000 bagi individu dan RM500,000 bagi syarikat.