LAHAD DATU, SABAH – Seorang lelaki berumur 45 tahun cedera ketika cuba menyelamatkan anaknya yang berumur setahun daripada rahang buaya selepas mereka diserang pada pagi Khamis.
Kedua-dua mangsa difahamkan sedang mendayung sampan di perairan pangkalan operasi Marin Lahad Datu apabila diserang reptilia berkenaan.
Difahamkan juga, bapa mangsa cuba melawan dan menarik anaknya keluar dari rahang reptilia berkenaan.
“Bagaimanapun, lelaki itu mengalami beberapa kesan gigitan manakala anak lelakinya diseret ke dalam air,” kata Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lahad Datu Sumsoa Rashid.
Beliau berkata mereka dimaklumkan mengenai kejadian itu kira-kira jam 10.51 pagi, dan telah menghantar sepasukan untuk operasi mencari dan menyelamat.
“Lelaki itu diberi bantuan kecemasam sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya.
Beliau berkata pasukan penyelamat masih cuba mengesan budak lelaki itu dan reptilia itu.