RANAU: Seorang lelaki dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri sejauh 15 kilometer mangsa dilaporkan hilang ketika memancing di Sungai Gayo Nagas Ponulagon, Kampung Paus di sini, kelmarin.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Ridwan Mohd Taib berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden kehilangan itu pada jam 8.32 pagi, kelmarin.
“Mangsa, 30 tahun dijumpai oleh orang awam di puncak bukit pada jam 5 petang di 15 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.
“Pasukan bomba dalam perjalanan ke lokasi mangsa dijumpai bersama agensi bantuan lain,” katanya dalam dalam satu kenyataan media di sini, semalam.
Menurut pengadu, mangsa telah keluar memancing pada jam 10 pagi, 3 Februari lalu dan pada 6 Februari bapa mangsa telah menghubungi mangsa dan dimaklumkan akan balik pada 9 Februari, namun sehingga jam 1 petang, 10 Februari mangsa masih belum balik ke rumah.
“Keluarga mangsa telah datang mencari mangsa di lokasi dan melakukan pencarian di sepanjang Sungai Gayo Nagas Ponulagon namun gagal.
“Pasukan bomba setelah dihubungi telah bersama-sama PDRM ke lokasi kejadian untuk mendapatkan maklumat lanjut seterusnya menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) lalu menjumpai mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri pada petang hari yang sama,” katanya.