KOTA MARUDU: Seorang lelaki tempatan dijatuhi hukuman penjara enam tahun oleh Mahkamah Majistret Kota Marudu selepas didapati bersalah menipu berkaitan tawaran projek tidak wujud serta memalsukan dokumen membabitkan kerugian RM57,000.
Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Simiun Lomudin berkata, kes berkenaan disiasat oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJK), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Marudu yang dikendalikan oleh Insp Rainol Masaat.
Beliau berkata, kejadian berlaku pada 6 September 2023 kira-kira jam 4 petang di Kampung Sumbingon, apabila pengadu berurusan dengan suspek berhubung tawaran projek pengorekan dan pembersihan Sungai Kampung Damai yang kononnya dikeluarkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kota Marudu.
“Bagi meyakinkan pengadu, suspek telah mengemukakan beberapa dokumen berkaitan projek sebelum meminta beberapa pembayaran dibuat ke akaun bank milik sebuah enterprise dan akaun Bank Rakyat.
“Pengadu kemudian membuat bayaran keseluruhan berjumlah RM57,000 sebelum mendapati dokumen yang diberikan adalah palsu dan projek tersebut sebenarnya tidak wujud,” katanya dalam kenyataan media, pada Selasa.
Menurut beliau, hasil siasatan lanjut berjaya mengesan dan menahan suspek sebelum dituduh di Mahkamah Majistret Kota Marudu atas kesalahan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 468 Kanun Keseksaan.
Katanya, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara satu tahun bagi kesalahan di bawah Seksyen 468 Kanun Keseksaan bermula dari tarikh sabitan pada 26 Mei 2026.
“Bagi kesalahan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan pula, tertuduh dijatuhi hukuman penjara lima tahun yang akan bermula selepas selesai menjalani hukuman bagi kesalahan Seksyen 468 Kanun Keseksaan.
“Mahkamah turut memerintahkan tertuduh membayar gantirugi kepada mangsa sebanyak RM57,000 dan sekiranya gagal membayar, tertuduh akan dikenakan tambahan hukuman penjara selama enam bulan,” katanya.
Beliau berkata, secara keseluruhan tertuduh dijatuhi hukuman penjara selama enam tahun enam bulan, namun mahkamah tidak mengenakan hukuman sebatan terhadap tertuduh.
Simiun turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa membuat semakan terperinci terhadap mana-mana tawaran projek atau urusan melibatkan pembayaran wang, khususnya yang menggunakan dokumen rasmi jabatan kerajaan bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.






