PENAMPANG: Seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang atas dakwaan terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah di sekitar daerah Putatan.
Dalam operasi yang dijalankan semalam, pihak polis telah menemukan dua paket lutsinar mengandungi ketulan hablur jernih dipercayai dadah jenis Methamphetamine (syabu) seberat 7.4 gram, dengan nilai anggaran pasaran sebanyak RM700.00.
Hasil ujian saringan air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang jika disabitkan kesalahan boleh membawa hukuman penjara tidak kurang dua tahun serta sebat tidak kurang tiga kali.
Suspek juga disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun jika sabit kesalahan.
Pihak polis menyeru orang ramai agar menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah atau penyalahgunaan dadah kepada balai polis berhampiran demi keselamatan dan kesejahteraan bersama.






