KINABATANGAN: Seorang lelaki warga asing berusia lingkungan 30 tahun dikhuatiri dibaham buaya semasa menjalankan aktiviti merambat ikan di sebuah sungai berhampiran Ladang Sepagaya, Kampung Suan Lamba, di sini pada Jumaat.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah, Pusat Gerakan Operasi menerima panggilan kecemasan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kinabatangan pada jam 4.10 petang.
“Difahamkan, mangsa dipercayai hilang sejak tengah hari (1 Mei) sekitar jam 12 tengah hari ketika menjalankan aktiviti menangkap ikan dan ahli keluarga memaklumkan mangsa tidak pulang ke rumah, dan hanya selipar serta peralatan menangkap ikan miliknya ditemui di tebing sungai.
“Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan yang diketuai Jasmani Osni bersama tiga anggota telah digerakkan sejauh 35 kilometer ke lokasi kejadian.
“Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) kini sedang dijalankan dengan bantuan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Setakat laporan ini disiarkan, mangsa masih belum ditemui dan usaha pencarian masih diteruskan. Pihak bomba memaklumkan bahawa maklumat lanjut akan dikemaskini dari semasa ke semasa.
Orang ramai dinasihatkan untuk lebih berhati-hati dan mengutamakan keselamatan, khususnya apabila melakukan sebarang aktiviti berhampiran sungai yang diketahui sebagai habitat reptilia berbahaya seperti buaya.
Sebarang maklumat mengenai kejadian ini boleh disalurkan kepada Ketua Balai BBP Kinabatangan, Hairi Utoh di talian 017-8616619.