KOTA KINABALU, SABAH – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menyediakan kemudahan Kotak Serahan (Drop Box) bagi membolehkan rakyat di Sabah dan Sarawak membuat permohonan rayuan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR).
Bahagian Komunikasi LHDN mengumumkan pemohon boleh mengemukakan borang dan semua dokumen sokongan berkaitan permohonan rayuan BPR di Drop Box yang disediakan di pejabat Cawangan, Pejabat Satelit dan Pusat Khidmat Hasil (PKH) LHDNM serta di Pejabat-Pejabat Daerah yang berhampiran.
“Kemudahan Kotak Serahan ini akan disediakan sehingga tarikh akhir permohonan rayuan BPR iaitu pada 30 Jun depan…
“Inisiatif ini diambil bagi memudahkan pemohon rayuan BPR di Sabah dan Sarawak yang mempunyai kesukaran untuk membuat permohonan rayuan secara dalam talian, sekali gus dapat membantu mereka mematuhi Prosedur Operasi Standard (S.O.P.) yang ditetapkan oleh Kerajaan dalam mengekang penularan COVID-19 disebabkan larangan merentas daerah,” katanya.
Melalui kaedah ini pemohon hanya perlu meletakkan borang rayuan BPR yang lengkap berserta semua dokumen sokongan berkaitan ke dalam kotak serahan yang disediakan mengikut waktu operasi pejabat.
“Bagi memastikan borang dan dokumen yang diserahkan adalah teratur dan tidak bercampur dengan borang rayuan pemohon lain, pemohon diingatkan agar memasukkan borang dan dokumen sokongan rayuan BPR di dalam sampul atau mencantumkannya (Stapler) dengan kemas terlebih dahulu sebelum meletakkannya ke dalam kotak serahan tersebut…
“Waktu operasi kaunter permohonan rayuan BPR di Cawangan, Pejabat Satelit dan Pusat Khidmat Hasil LHDNM dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 adalah bermula jam 8.00 pagi sehingga jam 12.00 tengah hari berdasarkan hari bekerja di setiap negeri,” katanya.
Orang ramai juga boleh melayari portal BPR di https://bpr.hasil.gov.my untuk maklumat lanjut berkaitan permohonan rayuan itu.
Katanya sebarang pertanyaan atau maklum balas juga boleh diajukan kepada LHDNM melalui Talian Hotline BPR di talian 1800-88-2747 yang beroperasi jam 9.00 pagi hingga 4.00 petang bermula Isnin hingga Jumaat.