TAWAU: Seramai 117 mangsa daripada 22 ketua isi rumah yang terjejas dalam kebakaran di Kampung Kurnia Jaya, Batu 4, kini ditempatkan sementara di Dewan Sri Balung, Batu 8, sementara bantuan susulan disalurkan pihak berwajib.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif merangkap Ahli Dewan Undangan Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, beliau bersama isteri berkesempatan menziarahi para mangsa pagi semalam dan menyampaikan bantuan wang tunai kepada semua ketua isi rumah terlibat.
“Insya-Allah, semoga sumbangan ini dapat meringankan beban yang ditanggung,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, semalam.
Hadir sama, Ahli Parlimen Tawau, Datuk Lo Su Fui, yang turut menghulurkan bantuan kewangan kepada keluarga terlibat.
Nizam berkata Jabatan Kebajikan Negeri Sabah akan terus menyalurkan bantuan susulan bagi memastikan kebajikan mangsa kebakaran terjamin.
Dalam pada itu, beliau menekankan pentingnya memastikan sambungan elektrik di kediaman dilakukan mengikut piawaian keselamatan bagi mengelakkan risiko litar pintas, antara punca kebakaran paling kerap berlaku di kawasan perumahan.
Beliau menasihatkan penduduk untuk melakukan pemeriksaan pendawaian secara berkala oleh juruelektrik bertauliah, mengelakkan penggunaan penyambung elektrik secara berlebihan dan menggantikan kabel atau soket rosak dengan segera.
“Pendawaian mesti mematuhi standard keselamatan yang ditetapkan pihak berkuasa. Langkah-langkah ini penting untuk mencegah insiden tidak diingini serta memastikan keselamatan keluarga dan komuniti sentiasa terjamin,” katanya.
Nizam turut mendoakan agar semua mangsa diberi kekuatan dan ketabahan menghadapi ujian tersebut.






