Masalah Bekalan Air Bersih Di DUN Lumadan Dijangka Selesai 6 Bulan Lagi

Masalah Bekalan Air Bersih Di DUN Lumadan Dijangka Selesai 6 Bulan Lagi

0
SHARE
Gambar sekadar hiasan...

BEAUFORT, SABAH – Masalah bekalan air paip bersih yang sering dialami penduduk di beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan dijangka berakhir apabila kerja-kerja mengganti paip lama selesai ENAM (6) bulan lagi.

Ahli DUN Lumadan Ruslan Muharam berkata kerja-kerja menukar batang paip yang berusia 30 hingga 50  tahun di kawasan kampung terlibat dijalankan sejak tahun lepas.

“Sebelum ini yang ditukar hanya saluran paip di jalan utama di Kampung Gadong dan sekarang proses menukar batang paip baharu di beberapa kampung lain,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Ruslan berkata sebelum ini penggantian saluran paip sepanjang 15 kilometer (km) telah siap dilakukan, dengan kira-kira 80 peratus daripada penduduk DUN Lumadan telah menerima bekalan air.

“Contohnya di kampung saya, di Suasa yang sudah 15 tahun tiada bekalan air, kini sudah ada bekalan air apabila batang paip diganti,” katanya.

Beliau berkata usaha kini tertumpu di kampung di kawasan yang agak terpencil, melibatkan kampung seperti Garama, Kepawa dan Bangkalalak yang akan menyaksikan penggantian batang paip sepanjang 20 km.

Dalam pada itu, Ruslan berkata satu takungan air akan dibina di Jempagah yang mampu membekalkan air bersih selama dua minggu sekiranya air dari loji sedia ada tidak dapat menyalurkan air bersih ketika musim banjir.

“Adanya takungan air itu sedikit -sebanyak membantu menyelesaikan secara keseluruhan masalah bekalan air dalam tempoh lima tahun di kawasan berkenaan,” katanya lagi

Sementara itu, Ruslan berkata masalah banjir kilat di kawasan Bukau dijangka selesai selepas semak-samun yang menyekat aliran air Sungai Api-Api sebelum ini dibersihkan.

Sungai itu merupakan pertemuan Sungai Maraba, Inuman serta Banting dan apabila hujan lebat aliran air melimpah disebabkan semak-samun di sepanjang sungai menghalang laluan air, katanya, menambah pembersihan melibatkan jarak sejauh 3.5 km.