KUALA LUMPUR – Arahan untuk rawatan, imunisasi, pengasingan, pemerhatian atau pengawasan mengikut perenggan 11(3)(a) dan (b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) akan dijalankan oleh Yang di-Pertuan Agong.
Arahan sedemikian juga boleh dilaksanakan mana-mana orang yang diberi kuasa oleh Yang di-Pertuan Agong, menerusi lantikan dan tertakluk kepada syarat tertentu.
Memetik laporan BH Online, berdasarkan dokumen ordinan yang disiarkan laman web rasmi Pejabat Peguam Negara semalam, arahan berkenaan disifatkan setaraf seperti seorang pegawai diberi kuasa mengikut Akta 342.
Seksyen 8 ordinan berkenaan memperuntukkan, bagi tujuan pentadbiran dan pengurusan, Yang di-Pertuan Agong atau mana-mana pihak yang diberi kuasa boleh mengecualikan seseorang profesional jagaan kesihatan daripada kehendak untuk mematuhi alamat tempat amalan.
“Bagi tempoh darurat berkuat kuasa, walau apa pun apa-apa peruntukan dalam mana-mana undang-undang bertulis, Yang di-Pertuan Agong atau mana-mana orang yang diberi kuasa oleh Yang di-Pertuan Agong, boleh mengecualikan seseorang profesional jagaan kesihatan yang dikawal selia di bawah undang-undang dalam jadual daripada kehendak untuk mematuhi alamat tempat amalan utama yang dinyatakan dalam mana-mana perakuan amalan tahunan atau yang setaranya,” menurut ordinan berkenaan.
Seksyen 9 memperincikan kesalahan dan hukuman terhadap mereka yang melanggar Seksyen 3 atau 4 ordinan terbabit yang merujuk kuasa pengambil alihan tanah, bangunan atau harta alih dan penggunaan sumber, bagi sebarang tujuan yang difikirkan perlu.
“Mana-mana orang yang melanggar atau gagal mematuhi mana-mana permintaan atau arahan Yang di-Pertuan Agong atau mana-mana orang yang diberi kuasa oleh Yang di-Pertuan Agong, melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi RM5 juta atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya,” menurut dokumen itu lagi.
Hukuman sedemikian berupaya dikenakan terhadap syarikat, perkongsian liabiliti terhad, firma, pertubuhan atau kumpulan orang yang lain, sekiranya disabit bersalah melanggar kedua-dua seksyen terbabit.
Pengisytiharan darurat bagi menangani ancaman COVID-19 yang berkuat kuasa 11 Januari lalu hingga 1 Ogos depan, diwarta dan disiarkan di laman web rasmi Pejabat Peguam Negara.
Warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 12 Januari lalu dikeluarkan Perdana Menteri dengan titah perintah Yang di-Pertuan Agong.