Mati Lemas, Cuba Larikan Diri Dari Polis

Mati Lemas, Cuba Larikan Diri Dari Polis

0
SHARE

SANDAKAN, SABAH – Mayat seorang warganegara Filipina berusia 18 tahun ditemui selepas dua hari pencarian di Kampung Pukat Pasir Putih, sini, semalam.

Difahamkan mangsa pada Jumaat telah bergaduh bersama rakannya dan bertindak melarikan diri dari pihak polis yang dikerah ke lokasi insiden dengan terjun ke laut.

Pusat Gerakan Operasi Bomba Sabah berkata sepasukan 10 dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan telah membantu Maritim Malaysia dalam proses pencarian.

“Pada mulanya operasi pencarian telah dijalankan oleh pihak Maritim Malaysia lebih kurang sejam tetapi mangsa masih belum ditemui.

“Tindakan pasukan bomba pada Sabtu ialah menjalankan Surface Rescue sehingga ke Pulau Berhala dengan radius pencarian satu kilometer (KM).

“Anggota Unit Pasukan Penyelamat di Air melakukan selaman di lokasi mangsa dipercayai telah terjun,” kata seorang jurucakap bagi agensi.

Walau bagaimanapun, Ketua Balai BBP Sandakan, PKPB Nor Azizi Bin Che Noh, hari ini berkata telah dimaklumkan bahawa mangsa telah ditemui.

“Mangsa yang hanya dikenali sebagai Man ditemui terapung oleh rakan sekerja mangsa tidak jauh dari kawasan mangsa dipercayai terjun.

“Mangsa telah meninggal dunia dilokasi seterusnya diserahkan kepada pihak Polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya, sambil menambah operasi tamat sepenuhnya pada 9:48 pagi.