Mayat Pesakit COVID-19 Beragama Islam Dibakar

Mayat Pesakit COVID-19 Beragama Islam Dibakar

0
SHARE

COLOMBO, SRI LANKA – Mayat pesakit COVID-19 yang beragama Islam akan dibakar walaupun keluarga mangsa menentang terhadap dasar kontroversi itu, demikian kenyataan tegas Kerajaan Sri Lanka berhubung perkara itu.

Negara itu sedang berdepan lonjakan kes pandemik COVID-19 sejak Oktober lalu dan jumlah jangkitan meningkat, lebih lapan kali ganda kepada lebih 29,300 dengan 142 kematian.

Memetik laporan AFP, mayat mangsa COVID-19 boleh dituntut waris mangsa tetapi perlu dibakar di bawah pengawasan ketat pihak kesihatan, suatu amalan yang dilarang mengikut Islam.

Namun, 19 keluarga mangsa COVID-19 Islam yang meninggal dunia, setakat ini menolak daripada menuntut jenazah dari bilik mayat di ibu kota Colombo, sehingga Peguam Negara, Dappula de Livera, terpaksa mengeluarkan perintah.

“Mayat mangsa COVID-19 yang tidak dituntut keluarga boleh dibakar mengikut peraturan kuarantin,” kata jurucakap De Livera, sambil menambah bahawa mayat akan dibakar pada minggu ini.

Menurut polis, setakat semalam lima mayat sudah dibakar.

Pihak polis dicabar masyarakat Islam negara itu menerusi 12 petisyen difailkan komuniti minoriti dan kumpulan masyarakat sivil di Mahkamah Agung, namun ditolak minggu lalu tanpa sebarang alasan.

Majlis Islam Sri Lanka menyatakan, majoriti mangsa COVID-19 di negara itu adalah Muslim dan kebanyakan mereka kini takut untuk mendapatkan rawatan, sekiranya positif COVID-19 kerana tidak mahu dibakar jika berlaku kematian.

Sementara itu, Organisasi Kerjasama Islam bulan lalu mendesak Colombo supaya mengizinkan umat Islam menguburkan anggota keluarga mereka mengikut kepercayaan dan kewajipan agama.

Sri Lanka mewajibkan mayat mangsa COVID-19 dibakar sejak April lalu di tengah-tengah kebimbangan yang disebarkan sami Buddha berpengaruh yang menyokong Presiden, Gotabaya Rajapaksa, kononnya mayat yang dikebumikan mampu mencemari air bawah tanah dan menyebarkan penyakit.

Bagaimanapun, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan pengebumian dan pembakaran mayat dibenarkan.

Wujud ketegangan berterusan di antara umat Islam yang mewakili 10 peratus daripada 21 juta penduduk Sri Lanka dengan majoriti etnik Sinhala yang kebanyakannya beragama Buddha, selepas militan tempatan dituduh dalang pengeboman Easter 2019.