Miliki Barangan Kawalan Bersubsidi, 2 Orang PATI Didenda RM80,000

Miliki Barangan Kawalan Bersubsidi, 2 Orang PATI Didenda RM80,000

0
SHARE
Gambar sekadar hiasan...

TAWAU, SABAH – Mahkamah Sesyen di sini, semalam menjatuhkan hukuman denda RM80,000 seorang kepada dua (2) orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warga Filipina selepas mereka mengaku bersalah memiliki barangan kawalan bersubsidi.

Tertuduh Abdul Milin Milning, 40, dan Komal Timbassal, 25,yang berada di kandang tertuduh hanya menganggukkan kepala tanda faham ketika Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud menjatuhkan hukuman berkenaan.

Terdahulu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 29 Julai 2020, pukul 2.10 pagi, di perairan Pulau Boheyan, dalam daerah Semporna.

Berdasarkan pertuduhan yang dibacakan, tertuduh didakwa menyimpan barangan kawalan berjadual iaitu 1,250 liter minyak petrol dan empat tong gas LPG dalam sebuah perahu dengan nombor pendaftaran SA 3821/5/F.

Ketika ditahan, tertuduh gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran pemilikan barangan terkawal dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan  Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) termasuk dokumen pengenalan diri.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961.

Awang Kerisnada dalam penghakimannya berkata, hukuman berat perlu dikenakan bagi kes pemilikan tanpa kebenaran barang kawalan sebagai pengajaran kepada tertuduh dan orang lain untuk tidak mengulang kesalahan tersebut.

Sehubungan itu, kedua-dua tertuduh dikenakan hukuman denda RM80,000, gagal bayar dua tahun penjara.

Selain itu, mahkamah turut mengarahkan tertuduh dirujuk ke Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk proses pengusiran pulang ke negara asal.

Awang Kerisnada turut mengarahkan semua barang yang dirampas, dilupuskan mengikut perundangan.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Jong Jee Leong manakala tertuduh tidak diwakili peguam.