
KENINGAU, SABAH – Warga pendidik di pedalaman khususnya digesa mainkan peranan penting dalam melahirkan belia yang berkualiti dan berkaliber.
Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Ellron Angin berkata demikian dalam ucapannya semasa sesi lawatan rasmi ke Pejabat Pendidik Daerah Keningau (PPD), semalam.
“Melihat kepada kurangnya penglibatan anak-anak muda pedalaman dalam arena kepimpinan di peringkat lebih tinggi adalah satu perkara amat membimbangkan, kerana mereka adalah pemimpin masa hadapan.
“Oleh itu, saya menggesa agar warga pendidik memainkan peranan penting mendidik anak-anak muda ini bergiat secara aktif dalam bidang kepimpinan,” katanya.
Tambahnya lagi meskipun ini satu tugas yang sukar, beliau berharap agar warga pendidik akan terus cekal dan sentiasa bersedia dalam memastikan mereka memberikan perkhidmatan terbaik kepada murid-murid.
Selain itu menyedari hakikat akan cabaran yang dihadapi oleh warga pendidik khususnya mereka yang ditempatkan di sekolah terpencil di pedalaman, beliau berharap agar warga pendidik terus cekal dan bersemangat dalam memberikan perkhidmatan terbaik buat warga pedalaman.
“Saya amat menghargai jasa dan pengorbanan warga pendidik lebih-lebih mereka yang ditempatkan di beberapa tempat yang mempunyai akses bekalan air dan elektrik yang amat terhad,” katanya.
Beliau turut menyatakan beliau akan sentiasa bekerjasama erat dengan PPD Keningau dalam memastikan perkhidmatan pendidikan di kawasan Sook khususnya berjalan dengan lancar dan berada di landasan terbaik.
Kerjasama erat itu telah dimeterai dalam satu Memorandum Perkongsian Pintar diantara beliau selaku wakil rakyat merangkap Menteri Belia dan Sukan Sabah dengan PPD Keningau.
Antara intipati memorandum tersebut ialah pertama bekerjasama meningkatkan kecemerlangan budaya kerja kedua-dua organisasi.
Turut hadir dalam lawatan rasmi itu, Setiausaha Politik Kepada Menteri Belia dan Sukan Sabah, Jre Jreneus Pagut dan Pegawai Pembangunan Masyarakat Sook, Tony Talasoi.





