MINGGU PMKS PERLU DIMANFAATKAN OLEH PENIAGA

MINGGU PMKS PERLU DIMANFAATKAN OLEH PENIAGA

0
SHARE
Jeffrey
Jeffrey merasmikan Majlis Perasmian Penutupan Minggu Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) Zon Sabah bersempena Minggu Keusahawanan Negara (MUN) 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) - ( Sumber Foto: Ihsan KUSKOP )

KOTA KINABALU, SABAH – Usahawan baharu dan sedia ada perlu memanfaatkan sepenuhnya Minggu Perusahan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) untuk meningkatkan dan meluaskan perniagaan mereka.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata penganjuran Minggu PMKS ini juga mampu menjadi platform yang sesuai bagi membawa produk atau perkhidmatan luar bandar terlibat dengan aktiviti padanan perniagaan serta memperluaskan jaringan perniagaan untuk menceburi pasaran baharu.

“Justeru, Minggu PMKS yang diadakan setiap tahun ini boleh dimanfaatkan oleh komuniti PMKS atau ‘business professionals’ yang berminat dalam mencari peluang perniagaan mereka.

“Dalam masa sama, program ini juga memberi pendedahan kepada usahawan baharu atau sedia ada mengenai peluang pembiayaan, program pembangunan sektor berkaitan dan sesi pemadanan perniagaan bagi meluaskan pasaran perniagaan mereka.

“Ia juga sejajar dengan usaha kerajaan yang kini giat membangunkan PMKS selepas
tempoh pandemik yang lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena Majlis Perasmian Penutupan Minggu Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) Zon Sabah bersempena Minggu Keusahawanan Negara (MUN) 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, hari ini

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Jeffrey G Kitingan.

Hajiji turut melahirkan rasa gembira kerana sempena Minggu Usahawan Negara dan
Minggu PMKS ini, KUSKOP (Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi) dan
agensi dibawahnya bersedia untuk melatih dan menawarkan pembiayaan kewangan,
kursus berkaitan bagi memastikan PMKS berkeupayaan memasarkan produk mereka
dengan lebih efisien dan kebolehpasaran diperingkat pasaran domestik atau luar
negara.

“Sudah tentu pelbagai pengisian sempena Minggu PMKS ini, akan memastikan PMKS
di negeri ini lebih berdaya saing. Bagi PMKS yang berjaya menembusi pasaran antarabangsa, saya berpesan agar sentiasa menjaga kualiti dan kepatuhan piawaian
yang ditetapkan oleh pelbagai negara.

“Dalam era moden pada masa ini, PMKS juga perlu mengaplikasikan teknologi dalam
perniagaan mereka, bukan sahaja dari segi pengeluaran produk tetapi juga perlu
digunakan untuk memasarkan produk mereka.

“Saya mahu semua PMKS khususnya di Sabah agar sentiasa melengkapkan diri dengan teknologi terkini, meningkatkan kualiti produk dan pembungkusan mereka agar mampu bersaing dengan produk dari luar,” katanya.

Beliau berkata, PMKS juga perlu bersedia mengharungi cabaran pematuhan amalan
Environment, Social, Governance (ESG) dalam ekosistem peniagaan bermula pada
tahun ini.

“Walaupun ESG masih di peringkat awal pelaksanaan, namun ia akan menjadi tonggak utama untuk mengukur kemampuan PMKS dalam membina tenaga kerja yang kukuh dan menambah peluang perniagaan termasuk ke luar negara.

“Ia juga akan memastikan PMKS dapat menembusi rantaian bekalan firma besar dan syarikat multinasional dalam dan luar negara yang meminta pengeksport mempunyai garis masa bagi memenuhi kepatuhan ESG untuk pemasaran pembekalan produk serta perkhidmatan,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Menteri berharap program ini dapat menarik penglibatan usahawan dari golongan belia, asnaf dan orang kurang upaya atau OKU untuk terlibat dalam aktiviti keusahawanan.

“Program seperti ini adalah satu platform yang terbaik untuk memperkasakan usahawan belia, asnaf dan OKU di negeri ini,” katanya.