KOTA KINABALU: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Sabah hari ini menggesa Jawatankuasa Bersama Khas (JBK) supaya memberi keutamaan kepada pelaksanaan semula pemilihan kepimpinan baharu MTUC, berbanding isu perwakilan ke Persidangan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILC) di Geneva, Switzerland.
Pengerusi MTUC Sabah, Mohd Airy Arin, dalam satu kenyataan media menegaskan bahawa JBK hanya diberikan mandat khusus oleh Mahkamah Tinggi pada 21 Februari 2025 untuk mengadakan pemilihan semula dalam tempoh 90 hari yang sepatutnya tamat pada 22 Mei, sebelum diberikan lanjutan hingga Ogos 2025.
Beliau turut mempersoalkan tindakan JBK yang dilihat membantah keputusan kerajaan untuk tidak mengiktiraf kelayakan wakil MTUC ke ILC, sedangkan jawatankuasa itu sendiri masih belum melaksanakan tanggungjawab utama mereka seperti yang diperintahkan mahkamah.
“JBK tidak mempunyai mandat untuk menamakan atau mencalonkan mana-mana pegawai sebagai perwakilan MTUC ke ILC. Tugas utama mereka adalah menjalankan persidangan perwakilan khas bagi memilih pimpinan baharu MTUC,” tegas Mohd Airy DALAM SATU KENYATAAN DI SINI, SEMALAM.
Katanya lagi, ILC adalah platform rundingan tiga pihak yang melibatkan kerajaan, majikan dan wakil pekerja, dan sebarang penyertaan mestilah datang daripada organisasi yang mempunyai struktur kepimpinan yang sah dan berfungsi.
Sehubungan itu, MTUC Sabah menyeru agar JBK segera memanggil Mesyuarat Majlis Am dan mempercepatkan proses pemilihan agar kepimpinan MTUC dapat dipulihkan dan kembali memainkan peranan penting dalam memperjuangkan hak dan kebajikan pekerja di negara ini.






