KUALA LUMPUR – Kesedaran dan sikap bertanggungjawab dalam kalangan masyarakat adalah perkara paling kritikal dan penyelesaian terbaik bagi membendung penularan COVID-19.
Memetik laporan BH, Pakar virologi dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Yahya Mat Arip, berkata kefahaman masyarakat terhadap fungsi vaksinasi perlu diperbetulkan, memandangkan masih ada yang alpa dan mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan wabak berkenaan.
“Majoriti daripada kita sudah mempunyai tahap perlindungan tertentu melalui vaksin yang diterima…
“Masyarakat juga sepatutnya sudah faham bahawa vaksin bukan bersifat melindungi secara 100 peratus (100%) dan pembentukan perlindungan imuniti dalam komuniti akan mengambil sedikit masa,” katanya mengulas peningkatan kes COVID-19 sejak kebelakangan ini yang mungkin memaksa kerajaan menutup semula kegiatan ekonomi dan sosial.
Justeru, katanya, setiap orang perlu menerima dengan terbuka bahawa kita semua terpaksa hidup bersama COVID-19.
“Pada pandangan saya (walaupun kes COVID-19 meningkat), kita sudah tidak mampu untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Tempoh untuk melaksanakan PKP sudah berlalu…
“Hidup bersama virus COVID-19 perlu dilalui sekarang, apa yang lebih penting adalah pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) pencegahan sedia ada. Tentunya kegagalan mematuhi SOP pencegahan yang menjadi punca kepada peningkatan kes,” katanya kepada BH semalam.
Yahya berkata, kombinasi suntikan vaksinasi bersama pematuhan kepada SOP berupaya mengurangkan kes secara minimum.
Tambahnya, penerimaan masyarakat terhadap dos penggalak juga antara kriteria penting bagi mengekalkan perlindungan pada tahap optimum terutama bagi golongan rentan dan berisiko tinggi.
Menyentuh kesesuaian pembukaan semula sempadan negara dijangka selewat-lewatnya Januari ini, beliau berkata perkara itu boleh dilaksanakan jika rakyat mempunyai tahap kesedaran tinggi bagi mengelakkan penularan COVID-19.
“Kesedaran dan rasa tanggungjawab setiap individu adalah mustahak. Tentunya kehidupan mesti diteruskan atas faktor kelangsungan ekonomi dan sosial,” katanya.