KUALA LUMPUR – Syarikat media yang mengentengahkan makanan ikonik, FriedChillies dengan kolaborasi Sunway Putra Mall bakal mengadakan Festival Nasi Kandaq Fest pada 23 sehingga 24 September ini.
Nasi Kandaq Fest bakal menampilkan gerai dari 10 buah restoran nasi kandar terkenal.
Antara restoran yang terlibat adalah Nasi Kandar Jamal Mohamed, Yusuf Restaurant, Pelita Nasi Kandar Taman Chai Leng, Restoran Liga Maju Nasi Dalca Ayam Negro, Hameediyah Restaurant, Sithique Nasi Kandar, Sadam Nasi Kandar, Nasi Kandaq Talam Johor Bahru dan Restoran Kudu bin Abdul.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Mohd Adly Rizal berkata festival terbabit merupakan platform tepat untuk peminat nasi kandar datang mencari nasi kandar yang enak.
“Seorang peminat nasi kandar tegar akan tahu yang sepinggan nasi kandar yang sempurna bukan hanya tertakluk pada kombinasi kari tetapi juga kemahiran seorang joki kari.
“Seorang joki nasi kandar ibarat barista di kafe. Dengan hanya satu pandangan mereka akan menilai dan menghasilkan kombo kari yang secocok dengan citarasa pelanggan.
“Ini disesuaikan untuk semua pelanggan yang datang untuk menikmati nasi kandar di kedai mereka. Inilah yang membezakan kedai nasi kandar daripada kedai mamak, kemahiran joki itulah yang membawa kelainan,” katanya.