KUALA LUMPUR: Pengembara serta pelancong dari luar kini boleh memasuki Malaysia susulan pembukaan sempadan Malaysia pada hari ini (1 April).
Dijangka lebih 1,000 pelancong antarabangsa akan tiba di negara pada hari pertama negara beralih ke arah fasa endamik.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Seri Nancy Shukri berkata, ketibaan pelancong kebanyakannya adalah dari Singapura yang masuk melalui pintu masuk antarabangsa menggunakan jalan udara dan darat.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) turut mempertingkatkan tindakan penguatkuasaan di pintu masuk sempadan susulan pembukaan sempadan negara pada Jumaat.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, tindakan itu dilakukan dengan kerjasama agensi-agensi berkaitan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
Sementara itu, Terminal Pengangkutan Awam Larkin Sentral dijangka menerima 22,000 hingga 25,000 pengunjung yang menggunakan perkhidmatan pengangkutan disediakan setiap hari berikutan pintu sempadan negara Malaysia-Singapura yang akan dibuka.
Pintu masuk utama negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) juga bersedia pada tahap tertinggi untuk menerima kedatangan pesawat dan pengembara.
Tinjauan di terminal utama KLIA dan KLIA2 pada Khamis mendapati petugas di lapangan terbang itu membuat persiapan rapi termasuk aspek penguatkuasaan, pematuhan SOP dan kawalan keselamatan, lapor Sinar Harian.
Premis perniagaan seperti restoran, restoran makanan segera, kedai serbaneka, kedai cenderahati serta kedai coklat juga kelihatan beroperasi pada kapasiti penuh.
Meskipun sempadan negara dibuka, dalam situasi Covid-19 yang masih menunjukkan kadar penularan yang tinggi, rakyat masih perlu sentiasa menjaga SOP sekiranya mengembara ke negara luar.






