PAKATAN HARAPAN KERAJAAN HIPOKRIT DAN ANGKUH, GUNA UGUTAN POLIS – AFIF

PAKATAN HARAPAN KERAJAAN HIPOKRIT DAN ANGKUH, GUNA UGUTAN POLIS – AFIF

0
SHARE
Dr Afif Bahardin...

PETALING JAYA – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) menunjukkan sifat hipokrit dan angkuh dengan menggunakan ugutan polis terhadap calon Perikatan Nasional (PN) Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin.

Menurut Timbalan Ketua BERSATU Shah Alam, Dr Afif Bahardin, ugutan PH untuk mengambil tindakan polis terhadap Azman kerana didakwa melabel kerajaan sekarang sebagai “kerajaan zina” bertentangan dengan janji Pakatan untuk mempertahankan kebebasan bersuara.

Beliau berkata demikian dalam membidas kenyataan Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil.

“Menuntut pihak Polis untuk menyiasat Azman adalah melanggar sama sekali dengan  janji yang berulang kali bahawa mereka akan mempertahankan kebebasan bersuara…

“Juga tiada unsur jenayah dalam apa yang Azman katakan,” kata Afif dalam satu kenyataan pada Selasa (29 Nov).
Beliau menambah kenyataan Azman adalah komen yang adil memandangkan ia adalah kritikan politik terhadap kerajaan perpaduan Barisan Nasional dan Pakatan yang baharu.

“Sebaliknya, PN ketika berkuasa, tidak mengambil tindakan polis terhadap ahli politik PH yang berkali-kali menghina kerajaan ketika itu dengan menjenamakan sebagai kerajaan pintu belakang selain ‘KERAJAAN GAGAL’ serta banyak lagi istilah menghina…

“Tambahan pula, Azman adalah calon dalam pilihan raya parlimen Padang Serai yang sedang berlangsung dan Fahmi tidak ada urusan campur tangan dalam proses pilihan raya dengan mengancam tindakan polis terhadap calon Perikatan,” katanya.

Afif juga menuntut kedua-dua PH dan Fahmi agar menarik balik ugutan polis itu terhadap Azman selain menggesa polis supaya tidak bertindak mengikut tuntutan PH.

Terdahulu, Bernama melaporkan Azman telah memberikan keterangannya kepada polis berhubung kenyataannya itu.

Azman berkata keterangannya telah diambil di balai polis Kulim Hi-Tech pada tengah malam Isnin (28 Nov).

“Saya mengakui bahawa saya agak keras pada malam itu…Tetapi ini soal prinsip, isu kerajaan campuran atau perpaduan lain cerita…

“Perikatan Nasional (PN) juga menerima keputusan Yang di-Pertuan Agong,” katanya ketika ditemui wartawan semasa kempen pilihan raya di Kampung Nesa pada Selasa (29 Nov).