Pelan Tindakan Digitalisasi Koperasi 2030 Bantu Transformasikan Koperasi

Pelan Tindakan Digitalisasi Koperasi 2030 Bantu Transformasikan Koperasi

0
SHARE
Ewon
Ewon sekitar Majlis Pelancaran Bulan Koperasi Kebangsaan 2023, di Dewan Majlis Bandaran Kuantan ( Sumber Foto: Ihsan KUSKOP )

KUANTAN, PAHANG – Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, Pelan Tindakan Digitalisasi Koperasi 2030 akan membantu mentransformasikan gerakan koperasi ke arah pendigitalan.

Beliau berkata, pelan itu yang dilancarkan hari ini melalui kerjasama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Institut Koperasi Malaysia (IKMa) dan ANGKASA menggariskan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan keupayaan koperasi menjalankan perniagaan berasaskan teknologi.

“KUSKOP yakin pelan tersebut mampu membawa perubahan dan mentransformasikan gerakan koperasi ke arah pendigitalan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Bulan Koperasi Kebangsaan 2023, di Dewan Majlis Bandaran Kuantan, di sini, hari ini.

Ewon berkata, koperasi perlu beralih daripada menjalankan perniagaan secara konvensional kepada adaptasi teknologi dan digitalisasi dalam penawaran produk dan perkhidmatan.

“Selain itu, koperasi juga perlu memodenkan operasi dan pentadbiran melalui teknologi canggih dan sistem digital,” katanya.

Dari segi peranan gerakan koperasi membantu kerajaan menangani kos sara hidup rakyat, beliau berkata, kementerian melalui SKM mengambil inisiatif menjenamakan semula kedai-kedai koperasi di seluruh negara secara berperingkat di bawah satu nama iaitu CoopMart.

“Melalui rangkaian Coopmart, anggota koperasi serta masyarakat setempat boleh mendapatkan barangan keperluan harian dengan harga berpatutan.

“Sebagai usaha mempromosi dan menggalakkan orang ramai berbelanja serta meneruskan langganan di Coopmart, Jualan Madani Koperasi (JMK) yang menawarkan penjimatan harga barangan keperluan harian sehingga 20 peratus daripada harga pasaran telah dilaksanakan,” katanya.

Ewon berkata, sehingga kini, 2,581 kedai runcit koperasi jenama Coopmart beroperasi di seluruh negara.

Katanta, gerakan koperasi juga diberi tanggungjawab membantu memperkukuhkan keterjaminan bekalan makanan negara melalui penglibatan dalam sektor agromakanan.

“Sehingga kini, 172 koperasi terlibat secara khusus dalam sektor agromakanan meliputi aktiviti pertanian, penternakan, perikanan dan pembekalan input pertanian dan ternakan.

“Sebagai usaha meningkatkan penglibatan dan sumbangan koperasi dalam sektor ini, Kementerian melalui SKM menyediakan pembiayaan modal pusingan agromakanan dengan jumlah peruntukan sebanyak RM100 juta dan geran bantuan pembangunan sehingga RM300,000 kepada koperasi yang berkelayakan,” katanya.

Mengenai sambutan BKK23, Ewon berkata, acara kemuncaknya adalah Sambutan Hari Koperasi Negara yang diadakan pada hari Sabtu minggu ketiga bulan Julai setiap tahun.

“Pada tahun ini, majlis Perasmian Hari Koperasi Negara akan diadakan di Kota Kinabalu pada 22 Julai ini,” katanya.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Dato’ Sri Suriani Binti Dato’ Ahmad, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Keusahawanan) Kuskop Datuk Zamri Salleh, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pemantauan) Kuskop Noor Afifah Abdul Razak, Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia Rusli Jaafar dan Ketua Pengarah IKMa Datuk Mohd Ali Mansor.