KOTA KINABALU: Pelbagai usaha yang dilaksanakan oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) telah berjaya membawa impak positif kepada kesejahteraan masyarakat setempat.
Mayor DBKK, Datuk Seri Dr. Sabin Samitah berkata, antara usaha tersebut ialah, projek pembersihan laut dan sungai secara besar-besaran; penambahbaikan keindahan landskap dan taman awam.
“Seterusnya, mempertingkat penyampaian perkhidmatan menerusi trasformasi digital, memperkasa sumber manusia dan logistik DBKK, mempertingkatkan tahap kebersihan melalui penguatkuasaan undang-undang, perancangan pembangunan yang teratur, serta pelbagai lagi perancangan yang dapat mempertingkatkan kualiti penduduk Bandaraya Kota Kinabalu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ulang Tahun ke-25 Jubli Perak Bandaraya Kota Kinabalu di sini, pada Ahad.

Turut hadir dalam Majlis itu ialah, Yang Dipertuan negeri Sabah, Tun Datuk Seri Musa Aman bersama isteri Toh Puan Datuk Faridah Tussin; Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam; Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun; Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Jahid Jahim dan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir.
Dalam pada itu, Sabin berkata, pihaknya juga kini sedang giat melaksanakan program yang dapat meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap kepentingan pemuliharaan alam sekitar.
“Antaranya adalah termasuk kempen penanaman pokok, pengurangan penggunaan bag plastik, dan amalan kitar semula.
‘Dari segi usaha memajukan sektor pelancongan dan kebudayaan, DBKK juga mengambil pelbagai inisiatif dari segi pemeliharaan warisan sejarah, penganjuran festival kebudayaan, serta mempromosi produk tempatan turut diperhebat bagi menarik lebih ramai pelancong domestik dan antarabangsa.
“Kesemua langkah ini bukan sahaja membantu merancakkan pertumbuhan ekonomi bandar, malah memperkukuh identiti Kota Kinabalu sebagai sebuah bandar raya yang progresif, lestari, dan menarik untuk dikunjungi serta didiami,” tambahnya lagi.
DBKK sentiasa komited dalam memperkukuh pelaksanaan program bandar lestari. Inisiatif bandar hijau, pemeliharaan alam sekitar, pembangunan kawasan rekreasi hijau, serta penambahbaikan sistem perparitan dan pengangkutan awam adalah antara usaha yang telah dan sedang dilaksanakan untuk memastikan Kota Kinabalu terus menjadi bandaraya yang maju dan mampan.
Selain itu, DBKK turut menumpukan pelaksanaan initiatif bandar pintar dengan Kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), bagi meningkatkan kecekapan pengurusan bandar dan penyampaian perkhidmatan.
Justeru itu, Sabin berkata, DBKK sentiasa komited dalam memperkukuh pelaksanaan program bandar lestari.
“Inisiatif bandar hijau, pemeliharaan alam sekitar, pembangunan kawasan rekreasi hijau, serta penambahbaikan sistem perparitan dan pengangkutan awam adalah antara usaha yang telah dan sedang dilaksanakan untuk memastikan Kota Kinabalu terus menjadi bandaraya yang maju dan mampan.
“Selain itu, DBKK turut menumpukan pelaksanaan initiatif bandar pintar dengan Kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), bagi meningkatkan kecekapan pengurusan bandar dan penyampaian perkhidmatan,” jelasnya.