PUTATAN, SABAH – Air mata Abdul Rahim Nazar, 81, mengalir melawat Taman Peringatan Perang di Petagas di sini setiap tahun.
Lelaki berketurunan Suluk itu menjadi anak yatim piatu ketika berumur dua tahun akibat keganasan tentera Jepun semasa Perang Dunia Kedua dahulu.
“Bapa dan beberapa pak cik saya antara anggota pasukan Gerila Kinabalu yang dibunuh ketika cuba mempertahankan negeri pada tahun 1943…
“Ibu dan makcik saya dihantar ke Kampung Kuala Kimanis kerana pada waktu itu, tentera mengugut untuk membunuh semua wanita dan kanak-kanak jika Gerila Kinabalu tidak menyerahkan diri,” katanya.
Abdul Rahim berkongsi pengalaman beliau pada Upacara Memperingati Mangsa-Mangsa Perang pagi tadi.
Katanya beliau tidak pernah mengenali ibunya sendiri kerana telah putus hubungan walaupun setelah perang tamat.
“Selama ini saya cuba mencarinya tetapi tiada nasib…
Bapa saya dibunuh di taman ini dan saya cuma ada satu-satunya keping gambar untuk memperingatinya,” tambah beliau.
Sebagai anak bongsu, Abdul Rahim berkata tanggungjawab membesarkan ahli keluarganya yang lain dipikul oleh kakaknya.
Pada bulan Oktober 1943, pasukan Gerila Kinabalu yang diketuai Albert Kwok melancarkan satu pemberontakan setelah mendapat maklumat bahawa tentera-tentera Jepun mahu mengerahkan kira-kira 2,000 orang belia Sabah menjadi tentera di garisan depan pertempuran di Asia Tenggara.
Ibu Pejabat Polis Tentera Jepun di Kota Kinabalu (ketika itu Jesselton) dan beberapa buah depot telah dibakar. Beberapa orang tentera Jepun telah dibunuh oleh pasukan gerila yang hanya bersenjatakan parang.
Namun pemberontakan kilat ini telah menggagalkan cita-cita Jepun untuk mengerahkan pemaksaan kepada belia-belia Sabah untuk menjadi tentera yang bekerja kepada Jepun.
Pada 21 Januari 1944, seramai 176 orang anggota gerilla yang dikurung di penjara “Batu Tiga” diangkut ke Petagas dan dibunuh beramai-ramai.
Tanah lapang tempat pembunuhan beramai-ramai di Petagas telah dipilih sebagai kawasan perkuburan bagi mangsa-mangsa itu.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, mengingatkan rakyat Sabah untuk terus memelihara keamanan yang ada.
“Generasi masa kini serta akan datang agar harus sentiasa memelihara keharmonian serta kemakmuran yang telah dikecapi atas pengorbanan, semangat dan keberanian wira negara suatu masa dahulu…
“Saya menyeru kepada seluruh rakyat negeri Sabah untuk sentiasa bersatu padu dan menjadikan pengorbanan wira kita ini sebagai inspirasi untuk menanam semangat patriotisme yang jitu dalam diri demi mempertahankan maruah serta kedaulatan negara dan negeri kita yang tercinta ini,” katanya dalam pertusan yang dibacakan oleh Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Ellron Angin.