KOTA BELUD – Seorang pemandu lori mengalami cedera parah apabila lori 10 tan yang dipandunya terbabas ke dalam parit di Kg Mengaris 1, di sini, hari ini.
Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sabah, kemalangan berlaku kira-kira pukul 11.30 pagi tadi.
“Mangsa lelaki berusia 54 tahun dikeluarkan oleh orang awam sebelum pasukan bomba tiba.
“Pasukan bomba bertindak memberi rawatan awal kepada mangsa dan seterusnya diserahkan kepada pihak ambulan untuk dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sebuah kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.
Seramai sembilan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Marudu dilaporkan bertindak ke lokasi dengan jarak sekitar 14 kilometer (KM) daripada balai.
“Operasi kemudiannya ditamatkan pada jam 12.05 tengah hari,” katanya.





