KOTA KINABALU, SABAH – Pakatan Harapan (PH) Sabah memaklumkan tidak memberikan sebarang akuan bersumpah menyokong mana-mana pihak selepas tahun 2020.
Perkara terbabit dijelaskan dalam satu kenyataan media bersama oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Api-Api, Datuk Christina Liew, ADUN Tanjung Papat, Datuk Fung Ming Poon, ADUN Kadamaian, Datuk Ewon Benedick, ADUN Luyang, Phoong Jin Zhe, ADUN Kepayan, Jannie Lasimbang, ADUN Likas, Tan Lee Fatt dan ADUN Inanam, Peto Galim.
Berdasarkan kenyataan media terbabit menjelaskan PH Sabah memerhati dengan serius perkembangan politik di Sabah dan telah mengadakan perbincangan sesama ADUN seramai tujuh orang.
“Kami ingin memaklumkan tidak memberikan akuan bersumpah menyokong mana-mana pihak selepas tahun 2020.
“Jika ada pihak yang mendakwa mendapat sokongan daripada kami, maka ianya tidak benar melainkan kenyataan terakhir kami selepas sidang Dewan Undangan Negeri Sabah yang terakhir pada November 2022 yang lepas.
“Kami juga menyatakan pendirian dan keputusan secara en-bloc untuk memastikan kestabilan politik Sabah dibina agar tadbir urus pembangunan dan perkhidmatan kepada rakyat dapat dilaksanakan dengan lancar,” jelas dalam kenyataan terbabit.





