Ke Arah Membudayakan Keusahawanan Akar Umbi

Ke Arah Membudayakan Keusahawanan Akar Umbi

0
SHARE
Sedco
Myrna (tengah, belakang) merakamkan gambar kenangan bersama para pemenang anugerah ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan komited memperkasakan pelbagai usaha ke arah membudayakan keusahawanan di peringkat akar umbi.

Menurut Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan (MIDE) Datuk Thomas Logijin, pihaknya akan terus menggerakkan program keusahawanan kepada golongan pelajar iaitu Program Tunas Niaga (PROTUNe) bagi menggalakkan pembudayaan keusahawanan, sekali gus menjadikan bidang tersebut sebagai kerjaya pilihan golongan muda.

“Keperihatinan kami dalam menyediakan sumber melalui peruntukan pembangunan keusahawanan kepada agensi melalui Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) yang berperanan membangunkan usahawan Bumiputera.

“Perannya tidak terhad kepada penyediaan prasarana tetapi juga memberikan ilmu pengetahuan kepada usahawan dan bakal usahawan Bumiputera seperti yang dilaksanakan oleh Sedcovest Holdings Sdn. Bhd. melalui program latihan dan PROTUNe.

“Kadar pengangguran di Malaysia masih berada di tahap yang merunsingkan akibat kesan ekonomi dunia.

“Justeru, antara langkah bagi menangani kadar peningkatan berkenaan, MIDE akan terus menggerakkan program keusahawanan kepada pelajar yang ingin menjadikan keusahawanan sebagai kerjaya pilihan,” katanya.

Ujar Thomas, objektif PROTUNe adalah untuk mendedahkan para pelajar sekolah menengah kepada dunia perniagaan secara lebih praktikal.

“Dalam program ini, para pelajar diberi peluang merasai pengalaman berniaga dan berhadapan dengan masyarakat umum dalam menjalankan aktiviti perniagaan yang sebenar.

“Jumlah keseluruhan yang dihasilkan oleh syarikat PROTUNe pada tahun 2023 ialah RM1,468.119.00 iaitu melebihi jumlah jualan dalam tempoh sembilan bulan (Mac hingga November 2023).

“Walau bagaimanapun, dalam program ini nilai jualan dan keuntungan bukanlah menjadi ukuran utama semata-mata, apa yang lebih penting ialah peluang dan pendedahan pelajar menghadapi cabaran dalam dunia perniagaan,” jelas beliau.

Teks ucapannya dibacakan oleh Timbalan SUT Myrna Jimenez dalam Majlis Penganugerahan Konvensyen PROTUNe Peringkat Negeri Sabah 2023 di sini, pada Selasa.

Dalam ucapannya, beliau juga optimis ilmu keusahawanan yang dipupuk sejak usia muda dapat memberi manfaat untuk memajukan diri serta keluarga para peserta.

“Bagi mereka yang tidak berpeluang melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi, boleh menggunakan ilmu keusahawanan ini untuk membuka perniagaan sendiri.

“Ilmu dan semangat keusahawanan yang dipupuk dari usia muda tidak akan mudah dilupakan, gunakanlah ia dengan sebaiknya untuk memajukan diri sendiri dan juga keluarga,” kata beliau.

Sementara itu, Pengerusi Sedcovest Holdings Sdn. Bhd., Rubbin Guribah memaklumkan, PROTUNe merupakan program tahunan yang diamanahkan oleh SEDCO kepada Sedcovest untuk dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Sabah.

“Program pembudayaan keusahawanan dengan sokongan MIDE memberi pendedahan kepada para pelajar Tingkatan 1 hingga 5 selama sembilan bulan sesi persekolahan.

“Bermula sejak tahun 1997, kini disertai 40 buah sekolah dari seluruh Sabah dengan penglibatan seramai 1,000 orang pelajar dan 80 orang guru pembimbing.

“Daripada jumlah tersebut, hanya 15 buah sekolah yang terpilih melalui penilaian panel juri untuk bertanding di peringkat akhir,” katanya.

Pada majlis itu, SMK Pengiran Omar Sipitang dinobat sebagai Johan Anugerah Persembahan Terbaik dan Anugerah Produk Terbaik sekali gus mewakili Sabah ke peringkat kebangsaan pada tahun ini.

Anugerah lain yang turut disampaikan oleh Myrna ialah Anugerah Kiosk Contoh yang dirai SMK Sepagaya Lahad Datu; Anugerah Agensi Pembimbing Terbaik (Amir Hassan Suhaimi dari Perkasa Realty Sdn Bhd); Anugerah Perkhidmatan Syarikat Terbaik (SMK Benoni Papar); Anugerah Guru Penasihat Cemerlang (Syahnur Azura Mohd Saufi dari SMK Pengiran Omar Sipitang); Anugerah Pengetua Cemerlang (Abd Majis Saprin dari SMK Tawau); Anugerah Pengurusan Syarikat Terbaik (Michaelian Millionaire Sdn Bhd dari SM St Michael Penampang) dan Anugerah Laporan Syarikat Terbaik (SM St. Michael Penampang).

Kali terakhir Sabah merangkul Anugerah Persembahan Terbaik di peringkat kebangsaan menerusi SMK Sepagaya Lahad Datu pada tahun 2015. — JABATAN PENERANGAN SABAH