KOTA KINABALU, SABAH – Kumpulan tempatan, Megaworld Vest Sdn Bhd dan Kumpulan Gezhouba dari China merancang untuk memulakan usaha sama bagi membina loji penjanaan kuasa hidro bernilai RM4 bilion yang mampu menghasilkan sehingga 1,000 megawatt di Liwagu, Ranau.
Projek yang dicadangkan ini adalah selaras dengan visi kerajaan negeri untuk memperkenalkan dan membina lebih banyak infrastruktur bekalan kuasa boleh diperbaharui di Sabah, menggantikan secara beransur-ansur loji janakuasa gas dan diesel sebelum kehabisan sumber tersebut di Sabah.
Gezhouba ialah kontraktor utama yang membina Empangan Three Gorges yang mampu menghasilkan 22,500 megawatt di China, iaitu empangan kuasa hidro terbesar di dunia.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor diberi taklimat mengenai cadangan itu semasa kunjungan hormat delegasi bersama Megaworld Vest dan Gezhouba diketuai Pengerusi Megaworld Vest Datuk Seri Arsit Sedi di pejabatnya di Menara Kinabalu di sini pada 13 Mac lepas.
Turut hadir, Pengarah Megaworld Vest Datuk Maijol Mahap, Pengarah Urusannya Herman SK Lee, Melvin Lee, Rachel Lee dan Jimmy Tang.
Hajiji dalam pada itu turut berkata kerajaan negeri sentiasa mengalu-alukan pelabur asing ke Sabah selaras dengan dasar mesra pelaburnya.





