KENINGAU, SABAH – Seorang wanita yang membonceng motosikal dipandu suaminya maut selepas pasangan itu bertembung dengan sebuah lori di Jalan Apin-Apin Keningau-Tambunan, di sini, tengah hari tadi.
Pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau yang bertindak ke lokasi selepas menerima panggilan pada jam 1.23 tengah hari melaporkan si suami, Ahmad Jeffry Mansur, selamat dan hanya mengalami cedera ringan.
Ketua BBP Keningau, PKPgB Sharudy Delamin berkata, akibat pertembungan itu, mangsa wanita, Jainab Lambertus, tercampak daripada motosikal terbabit.
“Beliau disahkan meninggal dunia oleh pihak ambulans. Pasukan EMRS memberi rawatan awal kepada empat (4) orang mangsa yang mengalami kecederaan ringan…
“Mereka seterusnya dihantar ke hospital menggunakan jentera EMRS dan ambulans untuk rawatan selanjutnya,” katanya.
Manakala, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba melaporkan tiga (3) mangsa lelaki berada dalam lori yang terbabas pada tepi jalan adalah Michael Joseph, 49, Sylvester Lipus, 21 dan Aliwin Rustin, 20.