Ivermectin Bukan Produk Herba, Tetapi Ubat Tersenarai Dalam Penggunaan Racun – Shahelmey

Ivermectin Bukan Produk Herba, Tetapi Ubat Tersenarai Dalam Penggunaan Racun – Shahelmey

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Penggunaan Ivermectin Hydroxycloroquine (HCQ) untuk tujuan perubatan khususnya bagi merawat COVID-19 bukan dalam polisi kerajaan.

Demikian kata Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah yang juga EXCO Kesihatan negeri, Datuk Ir. Shahelmey Yahya, dalam ucapan penggulungannya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Likas, Tan Lee Fatt, berhubung dengan kajian kerajaan negeri tentang perubatan herba.

Shahelmey berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memang giat mengkaji dan membangunkan industri herba untuk tujuan perubatan.

“Agensi KKM seperti Institusi Penyelidikan Perubatan menjalankan kajian bagi memastikan ubat-ubatan berasaskan herba adalah berkesan dan selamat untuk digunakan oleh pesakit-pesakit berkaitan…

“Secara umumnya, pihak kerajaan sentiasa terbuka dalam menerokai potensi penggunaan herba untuk indikasi terapeutik termasuk dalam mencegah dan merawat penyakit.

“Walau bagaimanapun, ia perlulah mematuhi standard dan peraturan antarabangsa yang ditetapkan dari segi aspek kualiti, efikasi dan keselamatan.

“Hydroxycloroquine (HCQ) dan Ivermectin bukanlah produk herba tetapi ianya adalah ubat tersenarai dalam penggunaan racun,” jelasnya.

Katanya hanya pengambilan vaksin polisi yang ditetapkan oleh Kerajaan untuk meminimakan kesan jangkitan COVID-19 kepada rakyat.

“Kementerian saya prihatin tentang hak seseorang individu akan tetapi kepentingan dan keselamatan masyarakat adalah menjadi keutamaan Kerajaan dalam menjaga kesejahteraan rakyat,” jelasnya.

Dalam menjawab pertanyaan ADUN Tanjung Aru, Datuk Junz Wong ADUN Kemabong, Rubin Balang, mengenai isu kenaikan harga makanan, Shahelmey berkata perkata itu bukan sahaja berlaku di Malaysia malah secara global.

Menurutnya, kajian badan dunia antaranya, World Economic Forum, International Monetary Fund (IMF), International Food Policy Research Institute turut menyokong perkara ini.

“Laporan Cable News Network (CNN) pada 5 November lepas turut memetik kenaikan harga makanan dunia melonjak sehingga 30% dalam tahun ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata agensi kerajaan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia (KPDNHEP) sentiasa siap siaga dalam menangani isu kenaikan harga barang.

“KPDNHEP Sabah terus komited menggerakkan 220 Pegawai Penguatkuasa seluruh negeri bagi memastikan tidak berlakunya aktiviti pencatutan harga dan peniaga kekal menjalankan perniagaan mereka secara beretika…

“Beberapa langkah proaktif yang digerakkan oleh KPDNHEP bagi memastikan kenaikan harga barangan disebabkan ketidakcukupan atau ketidakberadaan barangan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” tambahnya.

Katanya bagi menangani aktiviti mengambil untung yang tidak munasabah, KPDNHEP menguatkuasakan peruntukan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

Beliau mengingatkan pengguna jika sekiranya berlaku pengenaan harga yang tidak munasabah, hak pengguna dibela di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999.

“KPDNHEP Sabah terus menggerakkan seramai 85 Pegawai Pemantau Harga (PPH) secara harian untuk memantau harga 480 item di 138 premis seluruh Sabah untuk memastikan pergerakan harga berlaku pada situasi yang munasabah…

“Kenaikan harga barangan juga sering berlaku menjelang musim perayaan dan dalam hubungan ini, KPDNHEP akan memanjangkan tempoh dan memulakan pelaksanaan Skim Kawalan Harga Maksimum Musim Perayaan (SKHMP) lebih awal menjelang perayaan Krismas.

“KPDNHEP telah mewartakan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMMPKM) 2021 yang berkuatkuasa pada 7 Disember 2021 hingga 31 Disember 2021, berbanding hanya 10 hari bagi SHMMP Krismas pada tahun 2020. Sebanyak 12 jenis barangan telah diwartakan untuk dipatuhi oleh peniaga,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa peniaga ayam dan telur di peringkat borong dan runcit bersetuju mengurangkan margin keuntungan sejak 11 September 2021.

“Setakat ini sebanyak 82 premis telah memberikan komitmen penurunan margin keuntungan ini. Ianya sangat membantu pengguna dalam mendapat harga runcit yang munasabah sehingga ke hari ini,” ujarnya.