PEMERGIAN LAJIM SATU KEHILANGAN BESAR – BUNG

PEMERGIAN LAJIM SATU KEHILANGAN BESAR – BUNG

0
SHARE
Jenazah Allahyarham Lajim Hj Ukin diusung ke dalam van jenazah untuk dibawa ke kampung halaman di Kampung Kabatu, Beaufort bagi dikebumikan di sana...

KOTA KINABALU, SABAH – Timbalan Ketua Menteri, Dato’ Sri Bung Moktar Radin menyifatkan pemergian Bekas Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin pagi tadi sebagai satu kehilangan besar buat rakyat negeri ini khususnya penduduk rakyat di kawasan Beaufort.

Beliau berkata, berita pemergian Allahyarham Lajim juga sangat mengejutkan yang beliau anggap sebagai sahabat rapat sejak bersama-sama berada di barisan kepimpinan tertinggi Koperasi Serbaguna Sanya Berhad satu ketika dahulu.

“Allahyarham merupakan sahabat rapat saya pernah bersama dalam kepimpinan persatuan dan parti Umno sebagai ahli majlis tertinggi…

“Pemergian beliau hari ini mengakibatkan saya kehilangan seorang sahabat yang baik. Saya bersama keluarga dan kepimpinan UMNO Sabah merakamkan ucapan takziah kepada Datin Seri Normilah Siong serta seluruh ahli keluarga Allahyarham.

“Sesungguhnya Allahyarham akan sentiasa dikenang sebagai pemimpin yang banyak berjasa kepada rakyat di negeri ini khususnya di kawasan Parlimen Beaufort sepanjang khidmat beliau sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klias dan Ahli Parlimen Beaufort,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dato’ Sri Bung Moktar Radin…

Menurut Bung, sumbangan Allahyarham dalam pembangunan negeri ini juga tidak boleh dinafikan.

“Kita mendoakan semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan dikumpulkan bersama hambaNya yang beriman dan beramal soleh serta dikurniakan sebaik-baik ganjaran syurga,” katanya.

Lajim menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 6.23 tadi di Hospital Pakar KPJ Kota Kinabalu setelah dirawat lebih dua minggu di hospital berkenaan di mana Allahyarham disahkan positif COVID-19 pada 12 Ogos lalu.

Allahyarham meninggalkan seorang balu dan tujuh (7) orang anak.

Untuk rekod, jawatan terakhir beliau ialah Pengerusi Ekesutif Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

Jenazah Allahyarham diiringi oleh isteri beliau Datin Seri Normilah Siong, anak-anak Allahyarham serta ahli keluarga yang lain untuk dibawa balik ke kampung halaman di Kampung Kabatu, Beaufort untuk dikebumikan.

Kelihatan Isteri Lajim, Datin Seri Normila (tiga kanan) sebak menyaksikan jenazah suami beliau di masukkan ke dalam Van jenazah untuk dikebumikan di kampung Halaman Allahyarham Kampung Kebatu Beaufort…