LAJIM HJ UKIN SELAMAT DIKEBUMIKAN

LAJIM HJ UKIN SELAMAT DIKEBUMIKAN

0
SHARE
Turut kelihatan Datuk Isnin Aliasnih (ADUN Klias) bersama Haji Ruslan Muharam, Datuk Matbali Musah, Tuan Hj Samin Ongki Pengarah YADIM Sabah bagi memberikan penghormatan terakhir seterusnya turut menyempurnakan urusan jenazah ke liang lahad bersama Ahli keluarga dan pihak KKM mengikut SOP yang ketat...

BEAUFORT, SABAH – Jenazah Allahyarham Datuk Seri Panglima Lajim Haji Ukin selesai dikebumikan dengan sempurna selepas solat Zohor hari ini di Taman Perkuburan Kampung Kabatu, Beaufort kira-kira jam 1.50 tengah hari tadi.

Ahli Undangan Dewan Negeri (ADUN) Klias Datuk Isnin Aliasnih bersama ADUN Lumadan Haji Ruslan Muharam, Datuk Matbali Musah dan Pengarah YADIM Sabah, Haji Samin Ongki antara yang hadir bagi memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham Lajim Haji Ukin.

Pengarah YADIM Sabah, Tuan Hj Samin Ongki memberi penghormatan terakhir buat Allahyarham Lajim Hj Ukin dan turut mendoakan semoga rohnya dicucuri rahmat, diampunkan dosanya dan dilapangkan kuburnya serta ditempatkan bersama golongan orang-orang yang beriman dan beramal soleh…

Segala urusan jenazah dilakukan dengan penyeliaan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Sabah mengikut SOP yang ketat.

Petugas kesihatan barisan hadapan (frontliners) yang lengkap dengan pakaian perlindungan diri (PPE) bersama keluarga terdekat yang hadir melaksanakan solat jenazah di sekitar tapak pengebumian buat Allahyarham Lajim Hj Ukin sebelum dikebumikan…

Lajim, 66, menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital KPJ Kota Kinabalu pada 6.20 pagi tadi selepas dimasukkan ke hospital berkenaan akibat jangkitan COVID-19 sejak 12 Ogos lalu yang kemudiannya ‘ditidurkan’ pada 24 Ogos baru-baru ini.

Allahyarham meninggalkan seorang balu dan TUJUH (7) orang anak.

Datuk Seri Lajim Haji Ukin dikenali sebagai pemimpin politik veteran di Sabah yang dilahirkan pada 15 Jun 1955, beliau pernah menjawat jawatan Menteri di Sabah dan Timbalan Menteri Persekutuan.

Sepanjang hayatnya, Lajim pernah memegang jawatan Timbalan Ketua Menteri Sabah (1999-2004) dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri (1995-1999).

Ketika itu, Lajim menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klias yang disandangnya sejak 1985 hingga 2008 sebelum berpindah ke kerusi Parlimen Beaufort (2008-2013) dan kembali menjadi ADUN Klias dari tahun 2013 hingga 2018.

Beliau juga pernah dilantik sebagai Timbalan Menteri Pengangkutan (2008-2009) dan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (2009-2012).

Lajim memulakan kerjaya politik selepas memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Klias atas tiket Parti Bersatu Sabah (PBS) pada tahun 1985 dan kekal dalam parti itu sehingga tahun 1994.

Pada tahun 1994, Lajim bersama beberapa pemimpin Parti Bersatu Sabah (PBS) yang lain, antaranya ADUN Kemabong, Datuk Rubin Balang menyertai UMNO untuk mengembalikan pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN) di Sabah.

Ketika bersama UMNO, Lajim pernah menjadi Ketua UMNO Beaufort dan Ahli Majlis Tertinggi (AMT) UMNO sebelum mengumumkan keluar daripada parti itu pada tahun 2012.

Datuk Seri Lajim Haji Ukin…(Photo Credit; MAHA)

Jawatan terakhir Allahyarham adalah menggalas Pengerusi Eksekutif Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang mana telah membantu dan memudahkan kehidupan ramai usahawan dan golongan berpendapatan rendah (B40) dengan melanjutkan moratorium bayaran pinjaman selain menyalurkan pinjaman.