KETUA MENTERI SABAH UCAP TAKZIAH BUAT KELUARGA ALLAHYARHAM LAJIM HJ UKIN

KETUA MENTERI SABAH UCAP TAKZIAH BUAT KELUARGA ALLAHYARHAM LAJIM HJ UKIN

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Datuk Seri Panglima Haji Lajim Hj Ukin, yang meninggal dunia di sini, pada pagi Ahad.

“Bagi pihak keluarga saya dan Kerajaan Negeri, saya mengucapkan takziah kepada Datin Seri Normila Siong atas kehilangan dan keluarga Allahyarham Datuk Seri Lajim yang tersayang…

“Datuk Lajim adalah pemimpin yang berdedikasi dan juga kawan yang baik serta telah banyak menyumbang kepada negeri dan negara sepanjang karier politiknya.

“Sebagai Ahli Majlis Tertinggi Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Lajim adalah seorang pemimpin yang sangat berjasa, menyumbangkan masanya dan sentiasa berkongsi nasihat yang baik kepada parti,” katanya.

Tengah hari tadi Hajiji di laman media sosial Facebook beliau memaklumkan Allahyarham Datuk Seri Lajim Hj Ukin menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Pakar KPJ pada 6.23 pagi.

“Antara tanggungjawab yang pernah beliau sandang adalah sebagai, Timbalan Ketua Menteri Sabah, Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Malaysia, Ahli Dewan Undangan Negeri Klias dan Ahli Parlimen Beaufort,” Hajiji memperincikan.