PUTATAN, SABAH – Pemimpin Masyarakat perlu peka terhadap keadaan kawasan sekitar dalam membantu masyarakat setempat, demikian menurut Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Shahelmey Yahya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, ia untuk membantu kerajaan dalam memberi perkhidmatan yang baik dan selamat kepada masyarakat.
“Penting kita semua sebagai pemimpin masyarakat kita patut peka kepada keadaan sekitar kita, keluarga-keluarga, penduduk-penduduk kampung terutama penduduk tempatan…
“Menjadi tanggungjawab kita untuk memaklumkan kepada rakyat sekiranya dijangkiti covid-19 perlu ada sikap tanggungjawab jangan lari, patuhi arahan kerajaan. Apabila diminta untuk kuarantin di rumah atau dipanggil ke pusat kuarantin patuhi lah” katanya.
Shahelmey yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N24 Tanjung Keramat tersebut juga menasihatkan orang ramai agar tidak panik jika diumumkan PKPD di kawasan mereka.
“Jangan lari bersembunyi sehingga mengakibatkan risiko jangkitan meluas kepada orang ramai. Tujuan PKPD untuk menghadkan pergerakan agar kita dapat mengekang jangkitan COVID-19” katanya.
Beliau berkata demikian ketika meninjau pejabat Mahkamah Anak Negeri daerah Putatan di Putatan, kelmarin.