KUALA LUMPUR – Penerima hati pertama di negara ini, Mohd Afiq Ikmal Muhammad Zaini, 23, dilaporkan meninggal dunia akibat komplikasi hati selepas 18 hari tidak sedarkan diri di Hospital Selayang di sini, hari ini.
Perkara mendukacitakan itu disahkan sendiri oleh penderma hatinya, Wan Mohd Hafizam Wan Ismail, 45, yang menerima khabar sedih itu daripada bapa Mohd Afiq, Muhamad Zaini Rahim, 50, subuh tadi.
“Berita kematian adik Afiq dimaklumkan kepada saya oleh bapa Allahyarham pagi tadi,” kata Wan Mohd Hafizam.
Menurut Hafizam, jenazah Afiq akan dibawa pulang ke kampung bapa Allahyarham di Tikam Batu, Sungai Petani, Kedah.
Kisah di antara dua individu ini (Mohd Afiq Ikmal dan Wan Mohd Hafizam) pernah menggemparkan seluruh tanah air pada 23 tahun lalu selepas Wan Mohd Hafizam mendermakan sebahagian hatinya kepada Afiq Iqmal yang berusia 14 bulan ketika itu walaupun tiada pertalian darah antara mereka.
Keberanian Pegawai Bersekutu Angkatan Pertahanan Awam (APM) yang menjadi penderma hati pertama Malaysia itu sekali gus membuka mata dan kesedaran kepada rakyat Malaysia tentang kepentingan pendermaan organ.
# Pihak portal berita SabahNews.com.my mengucapkan takziah buat seisi keluarga di atas khabar duka ini…