Pengerusi Unduk Ngadau Buat Laporan Polis Berkenaan Komen Menghina Adat 

Pengerusi Unduk Ngadau Buat Laporan Polis Berkenaan Komen Menghina Adat 

0
SHARE

 

PENAMPANG, SABAH – Pengerusi pertandingan Unduk Ngadau, Joanna Kitingan, hari ini membuat laporan polis, di sini, keatas seorang pengguna Facebook bernama ‘Muhammad Hafiz’ yang menghina adat Kadazan Dusun Murut Rungus (KDMR) serta peserta-peserta pertandingan ratu cantik itu.

Dalam satu catatan di laman media sosial tersebut semalam, pengguna berkenaan telah menggunakan ayat keji untuk mejatuhkan maruah peserta-peserta wanita berkenaan selain bersifat perkauman.

Joanna dalam laporan beliau, mahukan tindakan lanjut daripada pihak Polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“Laporan juga untuk mengekalkan keharmonian komuniti di Sabah dimana kita adalah masyarakat majmuk dan berbagai agama yang menghormati antara satu sama yang lain…

“Apa yang diutarakan individu ini boleh diambil tindakan sogit dan ia adalah sangat menjijikkan dan tidak bermaruah,” katanya selepas siap membuat laporan polis kira-kira pukul 4 petang.

Ahli Majlis Belia Persatuan Budaya Kadazan Dusun (KDCA), Steve Johnny Mositun juga tampil membuat laporan yang sama awal pagi tadi.

Walaubagaimanapun, akaun yang digunakan bagi mengeluarkan kata-kata menaikkan darah itu dipercayai palsu.

Seorang lelaki bernama Mohd Azwan Abdul Sidi mendakwa gambarnya telah digunakan individu yang tidak bertanggungjawab disebalik akaun Muhammad Hafiz berkenaan. Akaun itu telah pun dinyahaktifkan.

Dalam satu catatan peribadinya di Facebook, Azwan memuat naik gambar laporan polis beliau sendiri yang dibuat atas sebab-sebab fitnah.

“Mustahil saya buat begitu. Zaman sekarang bukan susah buat akaun palsu. Tidak akan saya mau hina KDMR? Bangsa saya sendiri.

“Lepas tu hina Agong? Saya kerja unit beruniform, sia-sia saya kena tindakan kalau saya buat begitu, silap-silap dibuang kerja,” katanya.

Individu disebalik akaun palsu itu sejak awal tahun ini juga telah menggunakan gambar Azwan ketika mengeluarkan beberapa kenyataan yang menghina pemimpin negara.