Penghalangan Pili Bomba Oleh Penduduk Kampung Sukarkan JBPM Padam Api Kebakaran Di...

Penghalangan Pili Bomba Oleh Penduduk Kampung Sukarkan JBPM Padam Api Kebakaran Di Kampung Tanjung Aru Lama

0
SHARE
Shahelmy melawat satu kawasan di Kampung Tanjung Aru Lama yang terbabit kebakaran awal pagi tadi...

KOTA KINABALU, SABAH – Penghalangan pili bomba oleh penduduk Kampung Tanjung Aru Lama di sini menyukarkan pihak Bomba (JBPM) memadam api yang mengakibatkan 33 buah rumah rentung awal pagi hari ini.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Shahelmey Yahya berkata aktiviti penduduk setempat itu menjejaskan keberkesanan operasi pemadaman api pada pukul 1 pagi tadi.

Beliau menasihatkan penduduk kampung-kampung di Sabah yang mempunyai pili bomba supaya menjaga dan tidak menghalangnya bagi memudahkan usaha memadam kebakaran jika berlakunya musibah.

“Pihak kerajaan dalam proses mengumpul data untuk melihat keadaan yang lebih jelas dan seterusnya akan memberikan bantuan yang sewajarnya…

“Sebuah Pusat Penempatan Sementara (PPS) telah ditubuhkan di Dewan Sembulan untuk lebih 60 keluarga yang telah mendaftarkan diri.

“Bagi bantuan lain, satu tempat berdekatan dengan kawasan kebakaran sudah dikenal pasti untuk kemudahan keluarga terlibat,” katanya dalam lawatan ke lokasi pagi tadi.

Sabtu lalu, sebuah isu cuba dimainkan pihak tertentu berkenaan mangsa kebakaran Kampung Meruntum yang berkata seolah kerajaan menghalau mereka keluar dari PPS Dewan Sri Serigai.

“Difahamkan sebenarnya tiada isu yang timbul dan hanya satu dua orang yang cuba membesarkan isu berkenaan.

“Dari awal pendaftaran sudah dimaklumkan tempoh untuk tinggal di dalam PPS dan kebanyakan mereka faham serta keluar dari PPS pada pagi Ahad lepas.

“Saya juga sudah berjumpa dengan mangsa yang terlibat untuk pemberian bantuan.

“Sepatutnya bantuan yang mereka perlu tunggu sekarang adalah proses bantuan kerajaan untuk membolehkan mereka bina semula rumah di kawasan yang terbakar,” jelasnya.