KOTA KINABALU – Pasukan Tarik Tali Persatuan Tarik Tali Daerah Penampang bersedia untuk Pertandingan Tarik Tali Terbuka 720Kg Outdoor Sandakan pada 9 hingga 10 September ini di Dataran Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Sandakan.
Pasukan daerah yang terpilih dari daerah Penampang ini telah menjalani latihan selama 2 minggu lalu selepas menyertai pertandingan di Kejohanan Indoor Singapore bulan lalu. Matlmat pasukanĀ ini juga menyasarkan untuk ke Separuh Akhir pada Pertandingan Tarik Tali Terbuka 720Kg Outdoor Sandakan tersebut kerana pasukan ini baru digandingkan bersama dalam satu pasukan.
Pasukan PENTOWA yang dilatih oleh Jurulatih Rudulf Balamun dan di ketuai oleh Andy Anderson Martin ini berharap keputusan yang baik bakal diperoleh pada pertandingan tersebut bagi memberi semangat dan motivasi kepada anggota pasukan yang terlibat untuk terus bertanding di Kejohanan tempatan Keningau Open 680kg pada 15 hingga 16 September serta Kejohanan bertaraf Antarabangsa – Le Tour Langkawi pada hujung bulan Disember ini.
“Saya meminta semua masyarakat daerah ini untuk memberi sokongan dari segi kewangan dan moral kepada pasukan ini yang mewakili Daerah Penampang,” kata Pengurus Pasukan, Rainold J Mokujin yang ditemui semasa perlawanan 3 Penjuru Persahabatan pada hari Ahad lalu di Padang Majlis Daerah Penampang (MDPG) yang menemukan pasukan-pasukan PENTOWA, PARTOWA Cilipadi , Papar dan TK Gym Penampang Hulk.
Pasukan PENTOWA memenangi semua perlawanan liga 2 pusingan ke atas semua pihak lawan dengan kiraan 2-0.
Dalam perlawanan yang boleh dikatakan pemanas badan sebelum ke Sandakan ini, beliau berharap perlawanan persahabatan seperti ini dapat diadakan setiap minggu untuk membantu memantapkan persediaan pasukan dari daerah Penampang.