KUCHING, SARAWAK – Malaysia akan mengalami fasa peralihan monsun yang dijangka bermula Isnin ini, 14 Mac dan berterusan hingga pertengahan Mei.
Menurut Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) Muhammad Helmi Abdullah, permulaan fasa peralihan tersebut menandakan berakhirnya monsun Timur Laut yang bermula sejak 3 November 2021.
Katanya, semasa Fasa Peralihan Monsun ini, negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah yang amat sesuai untuk kejadian ribut petir.
“Keadaan ini lazimnya membawa hujan lebat berserta angin kencang dalam jangka masa singkat,” katanya dalam kenyataan media MET Malaysia.
Menurutnya lagi, kejadian ini berlaku terutamanya pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan di negeri pantai barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah serta barat dan tengah Sarawak.
“Keadaan cuaca ini berpotensi menyebabkan banjir kilat dan kerosakan pada struktur yang tidak kukuh,” jelasnya.
Orang ramai dinasihati supaya lebih berwaspada semasa tempoh ini serta sentiasa peka dengan ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh METMalaysia.