KUCHING, SARAWAK – Perkhidmatan ‘park-and-dine’ yang diperkenalkan oleh pengusaha makanan di negeri ini tidak dibenarkan oleh pihak polis.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail memandang serius perkara itu dan menegaskan perkhidmatan berkenaan tidak dibenarkan malah ia melanggar prosedur operasi standard (SOP) dan boleh dikenakan kompaun oleh pihak berkuasa.
“Ini (perkhidmatan) adalah tidak mematuhi SOP.. cuma bawa pulang (take away) sahaja dibenarkan. Menyediakan makanan untuk makan di dalam kereta bukan dikategorikan sebagai perkhidmatan bawa pulang…
“Aktiviti ini boleh dikompaun kerana tidak patuhi SOP. Ingin saya tegaskan bahawa aktiviti melayan pelanggan dengan membawa makanan untuk dimakan dalam kenderaan (sendiri atau kenderaan yg disediakan oleh restoran) dan mengambil semula bekas makanan dari pelanggan bukan dikategorikan sebagai bawa pulang,” tegasnya kepada pemberita hari ini.
Terdahulu, baru-baru ini tular di media sosial mengenai inisiatif baharu ‘park-and-dine’ yang menggantikan dine-in di restoran ekoran SOP mengekang penularan COVID-19 di Sarawak.
Tambah Aidi, beberapa premis makanan di Kuching turut dikenal pasti melaksanakan kaedah sama.





