Perobohan Rumah Di TMTS Dilaksanakan Atas Faktor Keselamatan, Banteras Kegiatan Jenayah Rentas...

Perobohan Rumah Di TMTS Dilaksanakan Atas Faktor Keselamatan, Banteras Kegiatan Jenayah Rentas Negara

0
SHARE
Semporna
Tangkap layar video tular operasi perobohan rumah di TMTS ( Sumber Foto: Tangkap layar video tular di laman media sosial )

KOTA KINABALU, SABAH – Pelaksanaan operasi perobohan dan pengosongan rumah di kawasan Taman Marin Tun Sakaran (TMTS) Semporna yang dilaksanakan dilakukan atas faktor keselamatan susulan kegiatan jenayah rentas negara di lokasi penempatan tanpa izin.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew berkata pihaknya mengambil maklum pelaksanaan operasi terbabit tular menerusi beberapa video yang dimuat naik dalam laman media sosial sehingga mengundang pelbagai reaksi.

Mengulas lanjut, beliau berkata pihaknya difahamkan satu mesyuarat yang dipengerusikan Taman-Taman Sabah (TTS) dan Ketua Polis Daerah Semporna bersama pihak berkenaan mengenai pengedaran notis pengosongan kawasan TMTS telah diadakan pada 26 April lepas.

Katanya, operasi pengedaran notis pengosongan telah dilaksanakan bermula dari 2 hingga 4 Mei lalu dimana notis telah diedarkan ke 273 buah rumah penempatan tanpa izin yang dibina kawasan TMTS.

Menurutnya, kerja-kerja perobohan dan pengosongan penempatan tanpa izin ini telah dilaksanakan bermula pada 4 hingga 6 Jun dan sebanyak 138 buah penempatan tanpa izin telah dirobohkan yang dibina dalam kawasan panas.

“Manakala sejumlah rumah lain telah dirobohkan sendiri oleh pemilik-pemilik terbabit. Ada juga pemilik-pemilik yang meninggalkan rumah mereka begitu sahaja.

“Menurut sumber dari pihak PDRM yang terlibat dalam operasi ini, ada pemilik rumah telah bertindak membakar rumah mereka sendiri semasa ketiadaan pasukan itu dalam kawasan tersebut bagi tujuan menjadi tular di laman media sosial dan meraih simpati dari orang ramai.

“Operasi ini dilaksanakan atas faktor keselamatan diperingkat daerah susulan insiden tembakan di Teluk Darvel dan juga kegiatan jenayah rentas negara di lokasi penempatan tanpa izin .

“Kedaulatan undang-undang negara yang berkuatkuasa dalam isu ini haruslah dipertahankan,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan.

Dalam pada itu, Christina turut menjelaskan
dari sudut pematuhan Enakmen Taman-Taman 1984, TMTS merupakan salah satu kawasan yang diwartakan sebagai kawasan TTS iaitu Taman Negeri.

“Semua kesalahan dalam Enakmen Taman-Taman seperti menangkap ikan, membina struktur tanpa izin dan bercucuk tanam memberikan kuasa kepada TTS untuk mengambil tindakan seperti mana yang telah diperuntukan dalam Enakmen Taman-Taman.

“Isu pembukaan hutan di Pulau Bodgaya untuk tujuan pertanian serta pembinaan lebih 200 buah struktur rumah tanpa izin adalah menjadi satu contoh pelanggaran terhadap Enakmen Taman-Taman.

“Semua tindakan yang telah dilaksanakan ini telah dipersetujui oleh agensi berkaitan dalam beberapa sesi mesyuarat termasuk lapan wakil komuniti TMTS sah juga sebulat suara meminta agar komuniti tanpa izin dikeluarkan segera dari kawasan TMTS,” katanya.