Pertandingan Motosikal Lasak Elak Belia Terlibat Dalam Aktiviti Tidak Sihat – Hendrus

Pertandingan Motosikal Lasak Elak Belia Terlibat Dalam Aktiviti Tidak Sihat – Hendrus

0
SHARE

KOTA MARUDU, SABAH – Satu program Funrace Enduro iaitu pertandingan motosikal lasak telah diadakan secara tertutup peringkat daerah Kota Marudu dan Pitas di Kampung Talantang 1, di sini pada Ahad.

Ia dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tandek, Hendrus Anding yang menyambut baik program seumpama ini diadakan.

Katanya, ia adalah salah satu sukan lasak yang diminati oleh golongan belia dan menguji kemahiran serta ketabahan jiwa anak muda.

“Aktiviti seumpama ini dapat menarik minat golongan muda dan mengubah akhlak mereka daripada menjadi “mat rempit jalanan” atau aktiviti lain yang tidak sihat…

Suasana semasa pertandingan diadakan Kg. Talantang 1…

“Selain itu, ia juga merupakan salah satu sukan yang berdaftar dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta mempunyai potensi di peringkat antarabangsa.

“Program seumpama ini juga dapat mengeratkan silaturahim dan memupuk semangat tolong-menolong antara satu sama lain,” katanya dalam satu kenyataan media.

“Saya bagi pihak kepimpinan di kawasan Tandek mengucapkan setinggi-tinggi tahniah atas kejayaan penganjuran sukan motosikal lasak ini,” kata Hendrus yang juga Pembantu Menteri Pertanian dan Perikanan (MAFI).

“Sukan ini bukan saja menarik minat golongan belia tetapi juga beliawanis di Kota Marudu maupun dari luar daerah, tambahnya lagi.

Beliau turut mengalu-alukan penyertaan golongan muda khususnya di daerah Kota Marudu serta seluruh ahli motosikal lasak negeri Sabah yang berdaftar di bawah KBS dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).

Turut hadir Pegawai Pemimpin Masyarakat DUN Tandek, Majawap Masantun; Ahli Jawatankuasa (AJK) Bahagian, Pemuda dn wanita Parti Bersatu Sabah (PBS) Tandek, AJK Persatuan Motosikal Lasak Kota Marudu/Pitas, Ketua Kampung dan Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Kg.Talantang 1 serta Penduduk kampung.