Pertengkaran Antara Suami Isteri Membawa Kepada Kematian

Pertengkaran Antara Suami Isteri Membawa Kepada Kematian

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Seorang wanita menikam maut suaminya selepas berlaku satu pertengkaran di antara mereka di kediaman mereka di Kampung Laksamana, Batu Caves pada Selasa baru-baru ini.

Menurut sumber, kejadian yang berlaku pada jam 11.30 malam itu, mangsa yang berusia 45 telah bertengkar dengan isterinya, 26, selepas lelaki itu menuduh suspek mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed yang dipetik BH Online berkata, pada mulanya polis menerima laporan pada jam 12.35 tengah malam daripada seorang wanita memberitahu jiran, suaminya maut disyaki membunuh diri.

Katanya, hasil siasatan mendapati berlaku pertengkaran di dalam rumah itu apabila mangsa terlebih dulu mengambil sebilah gunting dan cuba menyerang suspek.

“Suspek kemudian bertindak balas dengan mematahkan besi kaki payung dan terus menikam perut mangsa. Akibat tindakan itu, mangsa rebah dan terbaring di atas tilam dalam keadaan berlumuran darah dan terus meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Zainal berkata, polis menemui senjata digunakan suspek untuk menikam mangsa di belakang kediaman pasangan terbabit manakala wanita itu direman seminggu bagi membantu siasatan.

“Motif kejadian kerana cemburu dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Bedah siasat dijalankan esok di Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas laporan ujian COVID-19 diperoleh,” katanya.