KOTA KINABALU, SABAH – Seorang petani lelaki warga emas berusia 76 tahun punca tercetusnya Kluster Kampung Penangah di Tongod yang dilaporkan di Sabah malam tadi, demikian menurut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sabah Datuk Masidi Manjun.
Masidi yang juga Jurucakap Perkembangan Harian COVID-19 negeri Sabah berkata, lelaki yang merupakan kes indeks kluster berkenaan mempunyai sejarah penyakit darah tinggi dan masalah kulit, dan telah pergi ke Sandakan pada 12 Ogos untuk mendapatkan rawatan penyakit kulitnya, sebelum dikesan positif COVID-19 Klinik Kesihatan Penangah pada 17 Ogos lepas.
“Siasatan lanjut mengesan 14 kes positif dalam kalangan kontak rapat di sekitar kediaman kes indeks, dan setakat hari ini jumlah kumulatif kes positif bagi kluster ini ialah 35 kes, termasuk 15 kes baharu hasil saringan terhadap 76 individu,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Masidi turut berkata, aktiviti siasatan, persampelan dan disinfeksi, masih diteruskan oleh pasukan siasatan untuk menilai sebarang jangkitan dan risiko, kemungkinan jangkitan lebih meluas kepada penduduk kampung berdekatan.
