PAPAR: Sempena sambutan Kaamatan, PETRONAS melalui Yayasan PETRONAS menyampaikan sumbangan kepada 300 isi rumah di Papar menerusi program Uplifting Lives Festive.
Sumbangan berupa pek makanan disampaikan oleh Pengurus Besar Pejabat Wilayah Sabah dan Labuan PETRONAS, Datuk Siti Ayu Abdul Wahab, dalam satu majlis simbolik kepada Naib Presiden Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA), Datuk Juil Nuatim, sempena pelancaran sambutan Kaamatan peringkat negeri di Dewan Terbuka Tapak Tamu Mingguan Papar pada 1 Mei.
Majlis itu turut dihadiri Timbalan Presiden KDCA, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan serta Pegawai Daerah Papar, Muhammad Mohd Ali.
Pek makanan berkenaan akan diagihkan oleh Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah (JPKA) secara berperingkat sepanjang musim Kaamatan, mengandungi barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak, gula, tepung dan teh serta biskut raya.
Program Uplifting Lives Festive merupakan sebahagian daripada inisiatif Yayasan PETRONAS untuk meningkatkan kesejahteraan komuniti, menyokong pendidikan, kelestarian alam sekitar serta memperkukuh daya tahan sosioekonomi masyarakat di seluruh negara.






