DOHA – Brazil mara dengan mudah ke peringkat ke suku akhir Piala Dunia 2022 selepas membelasah Korea Selatan 4-1 awal pagi tadi.
Pada aksi pusingan 16 terakhir di Stadium 974 itu, Brazil mempamerkan persembahan yang begitu menarik apabila mendahului Korea Selatan 4-0 pada babak pertama.
“Kami mengimpikan gelaran ini, sudah tentu. Hari ini adalah perlawanan keempat, masih berbaki tiga. Kami fokus untuk mendapatkan kejuaraan,” kata Neymar yang kembali memulakan permainan selepas pulih daripada kecederaan buku lali.
Selepas gagal menjaringkan gol di babak pertama dalam perlawanan-perlawanan sebelum ini, juara lima kali Brazil menebusnya dengan meledak empat gol ketika menentang Korea Selatan.
Mereka memerlukan hanya tujuh minit untuk meruntuhkan pertahanan Korea Selatan bagi gol pertama jaringan Vinicius Jr.
Lima minit kemudian Richarlison dijatuhkan di dalam kotak penalti dan Neymar menyempurnakan sepakan untuk gol kedua Brazil, dan gol ke-76 dirinya untuk pasukan kebangsaan – kurang satu di belakang rekod sepanjang zaman milik Pele.

Richarlison kemudian menjadikan kedudukan 3-0 dengan jaringan menarik pada minit ke-29, disusuli dengan gol Lucas Paqueta tujuh minit kemudian.
Paik Seung-Ho menyumbang gol sagu hati buat Korea Selatan pada minit ke-76, namun belum cukup untuk menghalang Brazil merebut slot ke suku akhir.
“Saya harap kami dapat terus menari sehingga ke final. Kami juga menghadiahkan kemenangan ini kepada Pele. Semoga dia cepat sembuh,” kata Vinicius.
