KOTA KINABALU, SABAH – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan bantuan kewangan untuk mangsa banjir di Sabah akan disalurkan segera.
“Kita akan hantar bantuan itu dalam beberapa hari lagi. Apa yang penting keadaan di sana terkawal,” katanya.
Perdana Menteri memberi jaminan itu sebagai menjawab permintaan negeri yang dibuat oleh Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor semasa mesyuarat khas pasukan petugas pengurusan bencana banjir monsun Timur Laut yang diadakan secara maya pagi ini.
Hajiji sebelum ini memberi taklimat kepada Perdana Menteri yang mempengerusikan mesyuarat khas itu bahawa setakat pagi Isnin, enam daerah iaitu Kota Marudu, Pitas, Paitan, Ranau, Sandakan dan Telupid telah terjejas akibat banjir.
“Kita telah membuka 23 pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah ini bagi menampung 874 keluarga membabitkan 2,435 orang,” katanya.
Hajiji berkata semua agensi berkaitan yang diarahkan untuk membantu mangsa banjir telah menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik. Setakat ini, katanya Sabah menerima RM200,000 dan RM674,000 lagi diperlukan sebagai bantuan kewangan untuk setiap keluarga yang terjejas.
Kerajaan Persekutuan mengumumkan setiap keluarga yang terjejas banjir akan diberi Bantuan Wang Ihsan (BWI) RM1,000.
Pada masa sama, Hajiji berkata Kerajaan Negeri turut mengagihkan bakul makanan kepada mangsa.
“Jadi, ada baiknya Kerajaan Persekutuan menyegerakan penyaluran bantuan kewangan kepada Sabah,” katanya.
Hajiji memberitahu Perdana Menteri bahawa Kerajaan Negeri juga sedang menunggu laporan kerosakan infrastruktur akibat banjir di semua daerah yang terjejas.
Ketua Menteri akan melawat Kota Marudu, Pitas dan Paitan untuk menilai keadaan di lapangan dan bertemu mangsa banjir Rabu ini.
Turut serta Ketua Menteri pada mesyuarat itu ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Sr Safar Untong, Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam, Datuk Rosmadi Sulai dan Pengarah Bahagian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan, Jabatan Menteri Besar, Datuk Hj Ag Shahminan Datuk Hj Ag Sahari