Polis Rampas 80kg Daun Ketum Dalam But Kereta

Polis Rampas 80kg Daun Ketum Dalam But Kereta

0
SHARE

SIK, KEDAH – Polis menahan dua lelaki dan merampas 80 kilogram (kg) daun ketum yang disembunyikan dalam but kereta ketika operasi bersepadu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sik di Jalan Jeniang-Sik, Sik, Rabu lalu.

Menurut laporan Harian Metro, dipetik sebagai berkata Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintendan Abdull Razak Osman bahawa, operasi bersepadu itu dijalankan di daerah ini sejak 16 September lalu sehingga semalam hasil maklumat orang awam dan risikan polis.

Menurutnya, dalam operasi itu pihaknya merampas 80 kg daun ketum susulan penahanan dua lelaki di Jalan Jeniang-Sik dan kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

“Selain itu, dalam operasi sama kita turut menahan lapan lelaki atas kesalahan memiliki dadah berusia 20 hingga 45 tahun.

“Dua ditahan di Kampung Charuk Kudung kerana memiliki syabu seberat 1.1 gram, seorang lagi ditahan di pekan Sik kerana memiliki syabu seberat 0.5 gram dan dua lelaki ditahan di Kampung Begia, Jeniang kerana memiliki syabu seberat dua gram,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Abdull Razak berkata, bagi penahanan lima lelaki itu, kes disiasat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Dua lelaki pula ditahan kerana memiliki air ketum sebanyak 2.5 liter dan sekilogram daun ketum di Kampung Kuala Begia, Jeneri. Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

“Seorang lagi ditahan di Kampung Sungai Semiar, Jeneri kerana memiliki heroin seberat 4.5 gram dan kes disiasat mengikut Seksyen 39A (1) ADB 1952,” katanya.

Katanya, nilai keseluruhan rampasan dadah adalah sebanyak RM3,560 dan wang tunai berjumlah RM1,800 turut dirampas.

“Polis kini sedang menjalankan soal siasat terhadap semua suspek bagi mengetahui punca bekalan dadah,” katanya.