Polis Tumpaskan Sindiket Dadah Dan Rampas Dadah Bernilai RM180 Ribu Di Tawau

Polis Tumpaskan Sindiket Dadah Dan Rampas Dadah Bernilai RM180 Ribu Di Tawau

0
SHARE

TAWAU: Polis menumpaskan sindiket dadah didalangi oleh dua orang warga tempatan dan dua orang bukan warganegara bernilai Rm180,000.00 di sekitar daerah Tawau.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata kejayaan ini adalah hasil operasi dan serbuan yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Tawau di dua kawasan berasingan.

Jelasnya, serbuan pertama dilakukan di sebuah rumah tidak bernombor di Jalan Kuhara dan berjaya menahan seorang lelaki tempatan berumur 31 tahun dan seorang lelaki bukan warganegara berumur 41 tahun kelihatan mencurigakan.

“Pemeriksaan lanjut kawasan rumah menjumpai dua paket plastik warna keemasan bertulis Guanyinwang yang mengandungi bahan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat 2039.64gram.

“Semakan rekod jenayah mendapati suspek warganegara tempatan mempunyai dua rekod lampau dibawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya dan saringan ujian air kencing juga didapati positif dadah jenis Methamphetamine manakala suspek bukan warganegara tidak mempunyai sebarang rekod jenayah,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Manakala, rampasan dadah yang kedua katanya, dibuat di kilometer 60 Jalan Semporna – Tawau Serbuan dijalankan di tepi jalan dimana kelihatan seorang lelaki telah mencampakkan satu bungkusan yang dipercayai dadah jenis syabu. 

“Pasukan serbuan kemudiannya menahan dan memeriksa kenderaan yang dinaiki suspek dan mendapati dua orang lelaki dipercayai menjadi pemandu untuk aktiviti pengedaran dadah.

“Pemeriksaan bungkusan plastik yang dicampak oleh suspek menjumpai satu paket lutsinar berselotep cerah didalamnya mengandungi satu bungkusan plastik warna hijau bertulis Guanyinwang didalamnya mengandungi satu paket plastik lutsinar yang berisi bahan ketulam hablur jernih disyaki dadah jenis syabu anggaran berat kasar 1018.41gram.

“Suspek yang ditahan berumur 28 tahun, warganegara tempatan dan 31 tahun, bukan warganegara. Semakan rekod jenayah mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing juga negatif,” jelasnya.

Keempat-empat suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan. Kes akan disiasat dibawah seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabitkan dengan kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati ataupun penjara seumur hidup dengan sebatan tidak kurang daripada 12 sebatan.

Pihak polis ingin menegaskan bahawa mengedar, memiliki atau menyalahgunakan dadah adalah merupakan satu kesalahan di sisi undang-undang dan pihak polis mengalu-alukan kerjasama serta maklumat daripada orang awam untuk bersama-sama menbanteras kegiatan ini.