KOTA KINABALU, SABAH – Gabungan NGO Bebas Suara (BEBAS) mendesak agar pihak Polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengambil tindakan ke atas portal berbayar Parti Warisan Sabah iaitu ‘Ini Sabah Bah’.
Menurut BEBAS, portal berita bertaraf ‘sampah‘ ini telah menyalahgunakan bidang penulisan kewartawanan untuk agenda fitnah Parti Warisan Sabah.
Portal berita milik Parti Warisan ini sekali lagi telah memfitnah Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji kononnya telah berjumpa dengan Shafie bagi berbincang menubuhkan kerajaan negeri Sabah tanpa UMNO.
“Ini adalah jelas fitnah yang cukup jijik dan fitnah yang melampau.”
Menurut BEBAS, wakil Ketua Menteri Sabah telah menafikan adanya pertemuan membabitkan kedua pemimpin tersebut sambil menyifatkan laporan portal ini berniat jahat.
“Seluruh rakyat Sabah tahu Parti Warisan telah merampas negeri Sabah melalui jalan pintu belakang pada tahun 2018 dan mereka dilihat sekali lagi cuba melakukan taktik yang sama berulang-ulang kali, tetapi tetap gagal…
“Shafie dan seluruh kepimpinan Warisan sepatutnya sedar diri bahawa ramai wakil rakyat termasuk ketua-ketua bahagian telah meninggalkan parti itu secara beramai-ramai kerana sedar bahawa Parti Warisan adalah parti yang gagal.
“Justeru perbuatan memfitnah sebegini sama sekali tidak akan menyebabkan rakyat suka kepada Warisan, sebaliknya akan bertambah benci,” jelas BEBAS.
Sebelum ini, portal berita ‘Ini Sabah Bah’ juga telah memfitnah kononnya kilang masak jenama kebanggan Parti Warisan iaitu BESS telah ditutup oleh kerajaan GRS-BN.