KOTA KINABALU, SABAH – Pasukan Polis Marin (PPM) Kudat menahan dua (2) lelaki dalam sebuah bot yang dipercayai menangkap ikan menggunakan bahan letupan (bom) di Tanjung Berungus, Pitas, kira-kira 170 kilometer dari sini.
Pegawai Pemerintah PPM Kudat ASP Rizauddin Selamat yang dipetik Bernama berkata kedua-dua lelaki masing-masing berusia 55 dan 56 tahun itu ditahan dalam operasi di perairan berkenaan kira-kira pukul 9.50 pagi semalam.
“Semasa menjalankan operasi berkenaan, pasukan peronda mendapati sebuah bot yang mencurigakan cuba melarikan diri ke kawasan cetek setelah menyedari kegiatan mereka dihidu oleh PPM…
“Bagaimanapun dua lelaki tersebut berjaya ditahan. Hasil Pemeriksaan di dalam bot berkenaan menemukan peralatan yang dipercayai digunakan untuk mengebom ikan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata kedua-dua lelaki dan bot berkenaan dibawa ke pangkalan Markas Operasi PPM Kudat untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.